Maybank IB Research berkata, pihaknya menjangkakan purata jualan bulanan sebanyak 52,300 buah pada separuh ke­dua 2019 manakala bagi tahun penuh pula mengunjurkan TIV sebanyak 610,000 buah kende­raan berdasarkan purata 49,400 sebulan pada separuh pertama tahun ini.

“Kekuatan bermusim pada separuh kedua, selain sumbangan setengah tahun penuh daripada pelancaran utama mulai separuh pertama dijangka menyumbang kepada keputusan separuh kedua yang lebih kukuh,” katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

Semalam Persatu­an Automotif Malaysia (MAA) mengekalkan ramalan TIV sebanyak 600,000 buah bagi 2019 memandangkan pengguna dan perniagaan dijangka terus berhati-hati ekoran persekitaran ekonomi semasa yang tidak menentu.

Sementara itu, Affin Hwang Capital berkata, TIV akan ­menyederhana pada suku ketiga 2019, memandangkan pengguna dilihat telah memanfaatkan tawaran menarik Hari Raya pada bulan lepas.

Secara positif, firma penyelidikan itu berkata, wujud sokongan padu ke atas pembuat kereta nasional, dengan Proton menjadi pilihan utama manakala kereta jenama asing dijangka mengalami kesukaran pada Jun.

“TIV enam bulan sebanyak 296,300 buah naik dua peratus tahun ke tahun adalah dalam jangkaan dan merupakan 49 peratus daripada unjuran 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Kenanga Investment Bank bersetuju dengan sentimen Affin Hwang bahawa sektor itu akan kekal ­sederhana disebabkan oleh jualan praperayaan pada Mei.

“Hanya Proton yang mencatatkan pertumbuhan positif tahun ke tahun, disokong oleh X70 yang popular serta Proton Iriz, Persona dan Exora berwajah baharu,” katanya.