Ujar Pengarah Fresh Grocer, Sreedran Sankaran, barang basah seperti ikan, daging, ayam dan sayur dijual pada harga lebih murah daripada nilai pasaran semasa yang merupakan antara strategi pasar raya untuk kekal relevan.

"Sehubungan itu, kami menawarkan beberapa pilihan produk dengan tawaran harga serendah RM6.39 bagi sekilogram (kg) ayam, RM6.99 untuk telur ayam gred C, beras super spesial tempatan 10 kg (RM20.99) dan lain-lain lagi.

"Barangan bayi seperti Drypers Classic Pantz dijual pada harga RM24.99 dan serbuk pencuci pakaian FAB boleh didapati pada harga RM8.99 sahaja," ujar Sreedran Sankaran kepada Utusan Online, hari ini.

Katanya lagi, kesemua harga promosi itu hanya sah pada 13 Jun 2018 (hari ini) bermula pukul 7 petang hingga 12 tengah malam dan Fresh Grocer sering kali mengadakan promosi dan dalam masa yang sama menghargai 5,000 ahli yang berdaftar untuk membolehkan mereka mengumpul lebih banyak mata ganjaran.

“Promosi ini sesuai buat pengguna kini yang semakin bijak mencari pilihan dan membuat perbandingan harga barang supaya dapat membeli pada harga yang berpatutan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selain barang keperluan hari­an, Fresh Grocer turut menawarkan Zon Jimat yang menjual lebih 4,000 produk dengan hanya RM2.00 sahaja di tingkat dua pasar raya berkenaan.

Dalam pada itu, Fresh Grocer turut menawarkan peluang perniagaan buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat meletakkan produk mereka di pasar raya itu.

Mengenai pelan jangka panjang, Sreedran berkata, pihaknya menyasarkan untuk membuka 15 cawangan Fresh Grocer dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, cawangan kedua akan dibuka di Tanjung Karang, Kuala Selangor selewat-lewatnya Ogos ini membabitkan pelaburan kira-kira RM10 juta.

“Cawangan di Tanjung Karang akan mempunyai konsep yang sama di Cheras dan cawangan baharu yang akan datang bakal dibuka di luar Lembah Klang,” katanya.

Fresh Grocer yang dimiliki oleh Armani Venture Sdn. Bhd. telah dibuka sejak 31 Disember 2016 terletak di Amber Plaza 3A, Jalan Jelawat 1, Cheras. - UTUSAN ONLINE