Projek tersebut yang diba­ngunkan oleh TNB Bukit Selambau Solar Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe) melibatkan pemasangan 134,880 panel solar fotovoltaik di tapak seluas 50 hektar.

Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie berkata, projek LSS yang dijangka siap dalam tempoh 24 bulan dengan Tarikh Sasaran Operasi Komersial pada 31 Disem­ber 2020 itu dibangunkan oleh pasukan sama yang berpengalaman membangunkan LSS terbesar pertama negara di Sepang.

Katanya, projek berkenaan bukan sahaja menjadi mercu tanda bagi pekan Bukit Selambau tetapi mampu memberi kesan limpahan sosioekonomi rakyat di kawasan berhampiran.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya melalui peluang pekerjaan ketika projek dibangunkan, di samping aktiviti lain yang menyokong kerja-kerja LSS,” katanya pada majlis pecah tanah projek LSS di Bukit Selambau, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Projek LSS berkapasiti 30 MWAC itu adalah satu lagi komitmen TNB ke arah mencapai ke­upayaan tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 1,700 mW menjelang 2025, sejajar sasaran kerajaan untuk mencapai 20 pera­tus sumber tenaga negara daripada RE pada tahun sama.

Sementara itu, Mukhriz dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri berharap agar TNB mengemukakan bidaan lagi bagi menambah kapasiti projek LSS di Bukit Selambau ini, yang difahamkan boleh mencapai penjanaan sehingga 100mW.

“Kami berharap TNB berjaya dalam bidaan itu nanti. Jika TNB berjaya menambah projek LSS di Bukit Selambau sehingga 100mW, ia pastinya menjadi mercu tanda Bukit Selambau sebagai pekan solar,” katanya.