Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, semasa suku tersebut jam bekerja meningkat 2.0 peratus berbanding 1.7 peratus pada suku keempat 2018.

“Dalam masa yang sama, produktiviti buruh yang digambarkan sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja merekodkan pertumbuhan 2.2 peratus berbanding 2.3 peratus pada suku keempat 2018 apabila pekerja meningkat 2.2 peratus berbanding 2.4 peratus pada suku sebelumnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Uzir berkata, dalam suku ini, sektor pembuatan dan pertanian mencatatkan pertumbuhan prestasi produktiviti buruh yang lebih baik masing-masing pada 3.4 peratus berbanding 3.0 peratus pada suku keempat 2018 dan 3.0 peratus berbanding -0.7 peratus dalam suku sebelumnya.

“Sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 4.5 peratus manakala sektor perkhidmatan terus berkembang walaupun pada kadar sederhana 2.9 peratus berbanding 4.0 peratus pada suku keempat 2018.

“Sektor perlombongan dan kuari mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 0.8 peratus berbanding negatif 1.6 peratus dalam suku sebelumnya,” katanya. - BERNAMA