Jawatankuasa Pasaran Kewang­an­ (FMC) memberitahu, sebanyak AS$37.0 bilion (RM164.9 bilion) transaksi pertukaran asing berkaitan eks­port dan import barangan dijalankan pada Januari sehingga 15 Februari tahun ini.

Katanya, data Bank Negara Malaysia (BNM) juga menunjukkan imba­ngan yang bertambah baik antara aliran pertukaran asing eksport dan import, sejajar dengan lebihan perdagangan dalam akaun semasa.

“Sejak langkah-langkah berkenaan diperkenalkan, penukaran hasil perolehan eksport mengatasi import seba­nyak AS$372.9 juta (RM1.66 bilion) pada bulan Disember 2016 dan AS$741.3 juta (RM3.30 bilion) pada bulan Januari 2017.

“BNM dan FMC akan terus memantau kemajuan dan maklum balas orang ramai berhubung dengan inisiatif ini dan meneruskan interaksi dan perbincangan dengan semua pihak berkepen­tingan untuk memastikan inisiatif ini dilaksanakan de­ngan jayanya.

“Ia juga dapat mewujudkan persekitaran pasaran kewangan yang kondusif dan teratur bagi memudahkan aktiviti perniagaan dalam menyokong ekonomi,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

FMC merupakan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM pada Mei 2016 untuk meluaskan interaksi dan hubungan industri dengan tumpuan pada usa­ha mengkaji semula dan me­rumuskan strategi yang komprehensif untuk pasaran kewangan borong bagi memenuhi tuntutan yang pelbagai dan kompleks daripada ekonomi yang lebih maju dan bersepadu pada peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu FMC berkata, ringgit kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dengan pergerakannya sama seperti mata wang serantau lain dan mata wang utama yang kini sedang dipe­ngaruhi perkembangan dalam pasaran kewangan AS dan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh rizab persekutuan pada tahun 2017.

Menurutnya, FX dalam negeri terus mencatatkan jumlah transaksi harian purata AS$9.1 bilion (RM40.6 bilion) dalam semua jenis transaksi FX.

“Jumlah transaksi purata harian bagi pasaran mata wang ringgit Malaysia ialah AS$5.2 bilion (RM23.2 bilion), dengan purata transaksi serta-merta dan hadapan sebanyak AS$2.3 bilion (RM10.25 bilion) sehari.

“Turun naik kadar pertukaran kekal stabil dengan pergerakan antara hari purata mengecil kepada kira-kira 53 mata asas pada Januari 2017 daripada purata 82 mata asas pada Disember tahun lalu,” katanya.