Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain berkata, sasaran itu akan disokong oleh peningkatan jumlah penumpang, pengoptimuman kos dan kualiti perkhidmatan.

“Kami telah mengurangkan kos sebanyak RM248.70 juta setakat 30 Jun tahun ini melebihi sasaran 10 peratus atau RM208.40 juta seperti ditetapkan syarikat sebelum ini,” katanya kepada pemberita semasa taklimat prestasi Prasarana bagi separuh pertama 2019 di sini hari ini.

Beliau berkata, setakat 30 Jun 2019 Rapid Rail Sdn. Bhd. merekodkan lonjakan jumlah penumpang sebanyak 10 peratus tahun ke tahun kepada 112.7 juta berbanding 102.5 juta pada tempoh yang sama 2018.

Bagi tempoh yang sama, jumlah penumpang Rapid Ferry Sdn. Bhd. meningkat kepada 700,000 orang daripada 200,000 penumpang sebelum ini, namun jumlah penumpang Rapid Bus Sdn. Bhd. susut kepada 81.3 juta daripada 90.8 juta.

“Pertumbuhan perlahan jumlah penumpang Rapid Bus telah diimbangi oleh pertambahan penumpang Rapid Rail,” katanya.

Mohamed Hazlan berkata, Rapid Rail telah membawa lebih 700,000 pengguna sehari berbanding lebih 450,000 pengguna sehari oleh Rapid Bus.

Berdasarkan peningkatan jumlah penumpang dan pengoptimuman kos yang melebihi sasaran, beliau yakin Prasarana akan merekodkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan yang positif pada 2021. - BERNAMA

=