Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Masnizam Hi­sham berkata, untuk itu Prasarana be­kerjasama rapat dengan Techno­logy Depository Agency (TDA), iaitu anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan Pertubuhan Industri Rel Malaysia (MARIC) untuk me­ningkatkan penyertaan tempatan dalam industri rel.

Katanya, bagaimanapun sya­rikat tempatan perlu mempu­nyai keupayaan untuk meme­nuhi standard yang ditetapkan oleh industri rel antarabangsa supaya produk mereka boleh dipasarkan ke luar negara.

“Selain kewajipan ditetapkan kerajaan untuk memenuhi keper­luan 30 peratus kandu­ngan tempatan, kita juga mahu ke­upayaan syarikat-syarikat tem­­patan ini ditingkatkan dan untuk itu, kami harus bekerjasama de­ngan operator rel yang lain se­perti Keretapi Tanah Mela­yu Berhad (KTMB), Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL).

“Ini kerana kita tidak mempunyai industri yang boleh membekalkan kereta api kita sendiri terutama bagi operasi dan pe­nyenggaraan (O&M).

Kerjasama ini membolehkan kita menggalakkan penglibatan pemain industri supaya mereka boleh melabur misalnya dari segi pembinaan kilang dan juga mewujudkan peluang pekerjaan dalam usaha mengeluarkan produk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di majlis menandatangani perjanjian strategik dengan dua syarikat tempatan iaitu Amantronic Sdn. Bhd. (Amantronic) dan LCE Resources Sdn. Bhd. (LCE Resources).

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Perkhidmatan Infra Prasarana, Ahmad Nizam Mohamed. Amin; Ketua Pegawai Eksekutif Amantronic, Mohd. Izwan Shah Mohd. Sabri Daniel dan Pengarah LCE Resources, Thai Kam Weng.

Di bawah perjanjian itu, Amantronic akan terlibat bagi Sistem Pelinciran Rel manakala LCE Resourses pula untuk pembangunan pintu skrin platform bagi LRT Line Kelana Jaya.

Menurut Masnizam, di bawah Program Kerjasama Industri (ICP), Prasarana sudah membawa beberapa syarikat tempatan ke luar negara sebagai usaha membantu memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Dalam konteks ini, mereka menjadikan Prasarana sebagai platform rujukan bagi membuktikan produk mereka dapat digunakan dengan selamat dan berkualiti,” katanya.

Mengenai bidaan projek di luar negara beliau membe­ritahu, Prasarana masih lagi menunggu keputusan dari Arab Saudi berhubung bidaan projek kereta api berkelajuan tinggi manakala di India pula, syarikat membuat keputusan untuk tidak terlibat dalam tender monorel.