Satu daripada pencapaian syarikat ialah menyelesaikan pembinaan projek penyediaan bekalan air mentah, PAMER (Projek Air Mentah RAPID) bagi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor.

Pengarah Urusan Kumpulan PPB, Datuk Rosman Abdullah berkata, project PAMER yang bernilai RM688 juta ini merupakan projek penyaluran air mentah terbesar di Malaysia dan projek pembinaan kemudahan bekalan air yang pertama kali dijalankan oleh PPC.

Menerusi Konsortium Asia Baru-PPC JV, projek PAMER berjaya disiapkan dalam jangka masa 34 bulan termasuk kerja-kerja tambahan, iaitu mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau menjelaskan, projek itu melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan seperti stesen pemasukan air utama di Sungai Sedili Besar, stesen pam penggalak, empangan dengan kapasiti penyimpanan air 73 juta meter padu di Sungai Seluyut, loji simpanan air dengan kapasiti 130 juta liter di Bukit Panjang dan sistem saluran paip sepanjang 160 kilometer dari Sungai Sedili Besar ke Pengerang.

“Projek dengan nilai pelaburan yang besar seumpama PAMER ini memerlukan sistem pengurusan yang menyeluruh bermula dari aspek perancangan, belanjawan, bekalan bahan binaan sehinggalah aliran tunai,” kata Rosman.

Jelas beliau, konsortium antara PPC dan Asia Baru merupakan satu daripada contoh kerjasama strategik yang membolehkan kedua-dua syarikat saling melengkapi dari segi sumber kewangan dan kepakaran dalam bidang pembinaan.

“Selain projek PAMER, PPC te­lah terlibat dalam pelbagai projek pembangunan, ini termasuk pejabat pencakar langit dan bangunan kediaman, pejabat kerajaan, perbandaran, dan projek infrastruktur seperti lebuh raya, pelabuhan, jambatan, terowong perkhidmatan utiliti dan terowong monorel.

“PPC juga merupakan satu daripada syarikat yang pertama menggabungkan teknologi jimat tenaga, ciri-ciri hijau dan kemampanan dalam bangunan yang dibina, menjadikannya antara syarikat pembinaan yang paling inovatif dan boleh dipercayai di Malaysia,” jelas Rosman ketika mengulas mengenai syarikatnya yang telah menjadi antara pemain utama dalam industri pembinaan di Malaysia sejak 1986.

Setakat ini, projek-projek yang telah disiapkan oleh PPC bernilai RM12.5 bilion dan ‘outstanding order book’ atau perolehan projek bernilai RM1.1 bilion.

“Penglibatan dalam projek-projek besar ini telah meningkatkan keupayaan PPC, sekali gus menjadi peluang untuk membuktikan bahawa syarikat tempatan memiliki daya saing dan kepakaran yang setan­ding dengan syarikat besar antarabangsa,” kata Rosman.

Mengulas mengenai industri pembinaan di dalam negara, Rosman berkata, industri ini semakin kompetitif, seiring dengan kemasukan syarikat-syarikat besar asing daripada China, Korea dan Jepun. Oleh itu, syarikat tempatan perlu meningkatkan kebolehan dan kemahiran untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam industri.

“Syarikat pembinaan tempatan yang ada pada umumnya telah memiliki kemahiran teknikal yang hampir setanding dengan syarikat besar asing. Malah, semakin banyak syarikat tempatan yang kini telah menumpukan kepakaran mereka dalam pembinaan berkonsepkan teknologi hijau dan kemampanan.”

Di samping itu, beliau turut berkata, menerusi pengumuman Bajet 2018, sektor pembinaan akan menjadi lebih rancak di mana pelbagai projek dengan nilai lebih RM350 bilion bakal dilaksanakan, dan ini merupakan peluang keemasan bagi syarikat tempatan.

Mengenai hala tuju syarikat, Rosman berkata, beliau dan barisan pengurusan PPC telah menyusun langkah dan strategi untuk tersenarai di Bursa Malaysia menjelang akhir tahun 2018.

“Rancangan penyenaraian PPC ke Bursa Malaysia merupakan batu loncatan bagi menjadikan PPC sebuah syarikat yang telus serta pada masa yang sama menjadi lebih berdaya saing,” kata Rosman.

“Ini kerana setiap syarikat yang tersenarai awam perlu mematuhi prosedur dan tata urusan yang ketat mengikut amalan baik antarabangsa, sama ada dari segi peraturan, struktur syarikat, pengurusan perniagaan dan pelbagai aspek lainnya,” tambahnya.

“Di samping itu, apabila telah tersenarai, kami bertanggungjawab untuk sentiasa memastikan PPC menjana keuntungan bagi para pemegang saham, dengan cara memastikan PPC terus berkembang dan menerokai pelbagai peluang perniagaan yang ada. Kami juga berpeluang untuk mengembangkan lagi perniagaan syarikat dengan berkebolehan untuk memasuki pasaran modal yang lebih luas,” ujarnya.