Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, sebagai permulaan 2,000 unit rumah akan dibina di tiga lokasi di negeri ini iaitu Bagan Pinang, Pedas dan Rembau manakala dua lagi di Selangor (Banting dan Telok Datuk).

“Projek perintis rumah mampu milik PNB di Bagan Pinang membabitkan pembinaan 140 unit rumah teres yang dijangka siap dalam masa kurang dua tahun. Ia berkonsepkan kediaman hartanah dengan keluasan antara 83 hingga 92 meter persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Projek yang akan dibangunkan dengan Sistem Binaan Industri (IBS) ini ditawar pada harga bermula dari RM180,000 hingga RM200,000 seunit,” katanya dalam majlis Pelancaran Rumah Mampu Milik Sulung PNB di Bagan Pinang di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB Development Sdn. Berhad, Mohd. Salem Kailany. 

Abdul Wahid berkata, projek yang akan dibangunkan oleh anak syarikat PNB, PNB Value Homes Sdn. Bhd. itu ditawarkan kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan. – UTUSAN ONLINE