Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Platinum Oil, Datuk Seri Suhaimi Hashim, selain meningkatkan prestasi enjin berdasarkan aplikasi Teknologi Nano, minyak pelincir tersebut mampu melindungi enjin secara maksima.

“Minyak pelincir ini memastikan enjin motosikal dilindungi secara menyeluruh dan ketahanan serta kebersihan dalamannya terus meningkat.

“Teknologi yang kita majukan juga memastikan enjin mampu bertahan dalam suhu tinggi,” katanya kepada pemberita semasa Majlis ‘Pra Pelancaran’ Minyak Pelincir 10W50 4T Teknologi Sifar Geseran di pejabat Platinum Oil Seksyen 23 di sini baru-baru ini.

Suhaimi berkata, minyak pelincir berharga RM68 seliter itu mampu melindungi enjin motosikal berkuasa tinggi yang melalui perjalanan jauh konvoi hingga beribu batu.

SUHAIMI HASHIM menunjukkan minyak pelincir motosikal berkuasa tinggi, 10W504T yang menggunakan Tekno
SUHAIMI HASHIM menunjukkan minyak pelincir motosikal berkuasa tinggi, 10W504T yang menggunakan Teknologi Sifar Geseran (ZFT) pada Majlis Pra Pelancaran produk tersebut di Shah Alam, Selangor baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE 

Katanya lagi, memandangkan kebelakangan ini jumlah peminat jentera itu semakin meningkat, segmen jualan minyak pelincir untuk golongan tersebut perlu diberi perhatian.

“Sudah menjadi trend semakin ramai memilih menggunakan motosikal berkuasa tinggi sama ada untuk ke tempat kerja mahupun berekreasi.

“Kita ambil peluang ini mengeluarkan minyak pelincir 10W50 4T untuk motosikal kelas tersebut. Sebelum ini kita mengeluarkan produk minyak pelincir 4T, 10W40 dan 15W50 untuk kelas motosikal berkuasa rendah,” katanya.

Mengulas mengenai situasi pasaran minyak pelincir semasa, pihaknya sentiasa mengalu-alukan agen mahupun pengedar baharu dalam kalangan generasi muda. - UTUSAN ONLINE