Platform tersebut diwujudkan hasil daripada me­morandum persefahaman (MoU) antara MNC Wireless Bhd (MNC) dengan Urban Setup Sdn. Bhd. (URBAN).

Pengarah Eksekutif MNC, Christopher Tan Chor How berkata, platform yang akan dilancarkan pada akhir 2019 itu dilesenkan SGPMX (M) Sdn. Bhd. (SGPMX) ke syarikat URBAN yang membolehkan pengguna membeli emas fizikal melalui aplikasi mudah alih dengan nilai pecahan minimum satu sen.

“Platform kami ini akan diakses orang ramai bagi tujuan pembelian emas termasuk para pelabur yang ingin membeli, menjual atau menebus serta menghantar ke lokasi yang dikehendaki. Lebih me­yakinkan, platform ini bebas daripada unsur gandaan harga sewenang-wenangnya.

“Saiz industri dagangan emas Ma­laysia adalah RM10.7 bilion pada 2017, RM12.4 bilion pada 2018 dan dijangka meningkat RM15.8 bilion pada 2019. Pertumbuhan ini sangat menggalakkan dan akan memberi permintaan kukuh kepada platform e-dagang emas kami,” katanya dalam majlis pemateraian MoU tersebut di sini hari ini.

MoU tersebut turut disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof serta Pengarah SGPMX, Datuk Yusli Mohamed Yusoff.

Jelas Chor How, pihaknya percaya dengan harga yang murah dan kompetitif ditawarkan dapat memberi manfaat kepada pengguna melalui fakta sahih seperti harga pembelian emas yang seiring dengan harga langsung emas antarabangsa.

“Pengguna tidak perlu bimbang tentang fakta palsu kerana platform yang kami sediakan ini hanya menerima bulion secara langsung daripada pembiaya emas yang ditubuhkan di peringkat antarabangsa,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan URBAN, Datuk Azrulnizam berkata, penggabungan MNC dan SGPMX menerusi prospek e-dagang emas fizikal melalui platform teknologi dapat menggalakkan perkembangan ekonomi positif.

“Kami mahu menggalakkan rakyat mengumpul kekayaan dengan keseimbangan kewangan. Jadi, platform runcit emas fizikal kami ini akan menjadikannya realiti,” ujarnya.