Ketua Pertumbuhan Penjual Asia Tenggara eBay, Wong Mei Inn berkata, pada masa ini hanya terdapat 9,000 penjual aktif Malaysia dalam platform tersebut.

“Daripada jumlah itu, hanya 77 peratus penjual tersebut dalam eBay yang telah mula mengeksport produk masing-masing ke peringkat global dan majoritinya dalam perniagaan alat ganti, elektronik dan barangan pengumpul,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran bengkel latihan eBay di sini hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mei Inn berkata, salah seorang penjual tempatan dalam platform eBay itu berjaya mencatat jualan sebanyak AS$34 juta (RM140.71 juta) pada tahun lepas.

Menyentuh penganjuran program oleh e-Bay hari ini, beliau berkata, bengkel Let’s eBay itu disediakan khusus untuk PKS yang tiada atau mempunyai pengalaman kecil selain bertujuan melonjakkan penggunaan e-dagang dalam kalangan perniagaan tempatan.

Selain e-Bay, program Akademi Let’s eBay itu dianjurkan bersama pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan sasaran membantu usahawan memulakan perniagaan e-dagang selain mendapat akses kepada pembeli aktif di pasaran global.

Mei Inn berkata, pendaftaran program itu dijalankan sehingga akhir bulan ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, usahawan dan pemilik perniagaan perlu merebut peluang dan menceburi bidang e-dagang bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menetapkan sasaran penembusan dan pelaksanaan e-dagang sebanyak 30 peratus dalam kalangan usahawan bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Ekonomi negeri ini menawarkan banyak peluang khususnya sejajar dengan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi bagi jenama global,” katanya. - BERNAMA