Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif (Huluan), Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, mereka bercadang untuk memperluaskan projek Air Untuk Kehidupan ke daerah lain di Juba pada masa akan datang.

“Ini adalah projek kami yang pertama di Sudan Selatan. Apabila projek ini berjalan dengan baik, kami berharap dapat menyediakan kemudahan air bersih kepada 40,000 penduduk di kawasan ini.

“Sebagai syarikat korporat yang bertanggungjawab, ini merupakan sebahagian daripada kerjasama kami untuk sama-sama membangunkan program berasaskan komuniti di Sudan Selatan,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Projek tersebut dilancarkan 11 September lalu oleh Menteri Petroleum Sudan Selatan, Zekiel Lol Gatkuoth. Yang turut ha­dir, Pengarah Nile Hope, Paul Biel dan Pengerusi Operasi Sudan Selatan Petronas, Janin Giris.

Fasa pertama projek Air Untuk Kehidupan di Blok 4 Gudele West, Juba itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas.

Ia dijalankan dengan kerjasama Kementerian Petroleum Republik Sudan Selatan dan Nile Hope, sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa Sudan Selatan.

Inisiatif itu menekankan ke­se­jahteraan dan pembangunan komuniti melalui peningkatan kesedaran terhadap kesihatan, kebersihan dan keselamatan, meningkatkan kualiti penjaga­an kesihatan dan menyediakan akses kepada air bersih.

Antara projek CSR yang dijalankan Petronas di Sudan Selatan termasuklah Projek Penajaan Pendidikan Petronas, naik taraf sekolah dan menambah baik pembangunan komuniti menerusi syarikat kerjasama operasi (JOC).

Pada 10 September lalu, Petronas dan rakan kerjasamanya menandatangani perjanjian penerokaan, pengeluaran dan perkongsian (EPSA) dan lanjutan perjanjian transisi untuk Blok 1, 2 dan 4 dengan kerajaan Sudan Selatan. Ia melibatkan anak syarikat Petronas iaitu Petronas Carigali Nile Ltd.