Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, Petronas Coffee Break yang diadakan sempena musim perayaan itu merupakan kempen kese­lamatan jalan raya PDB yang bertujuan menyedarkan pengguna jalan raya untuk kekal selamat.

Menurut beliau, kempen tersebut bermula di Sabah pada hari ini sehingga 2 Jun dan bersambung semula pada 8 dan 9 Jun sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Hari Gawai.

“Bagi Semenanjung, kempen Hari Raya Aidilfitri akan bermula dari 1 hingga 2 Jun dan di­sambung semula pada 8 hingga 9 Jun.

“Selain air kopi Nescafe, mereka juga boleh menikmati tawaran-tawaran lain dari rakan kempen termasuk Julie’s, Munchworld, Cadbury, Tong Garden’s, Kopiko serta baucar daripada Shopee dan Dunkin’ Donuts,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Tambah Syed Zainal Abidin, keselamatan jalan raya sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kepada PDB dan kempen sedemikian diharap dapat menye­darkan pelanggan untuk kekal selamat dengan mengambil rehat secukupnya jika menempuh perjalanan yang jauh.

“Kami gembira dapat memainkan peranan dalam meringankan perjalanan para pe­langgan melalui tawaran kopi sebelum mereka tiba ke destinasi,” katanya.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin berkata, Jabatan Kese­lamatan Jalan Raya juga akan melaksanakan program kese­daran bagi mendidik orang ramai tentang keselamatan jalan raya.

Katanya, pemeriksaan kenderaan percuma turut dijalankan oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) untuk pelanggan mereka sementara Yamaha akan menjalankan pemeriksaan keselamatan untuk semua jenama motosikal.

“Pada masa sama, pemeriksaan kesihatan percuma akan dilakukan oleh pihak St. John Ambulance Malaysia. Semua program ini akan diadakan di stesen Petronas terpilih sepanjang kempen berlangsung,” ujarnya.