Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Sabah, Ridzuan Lassim berkata, ketika ini kerajaan mengenakan dua kaedah percukaian kepada kenderaan import terpakai iaitu duti import dan duti eksais.

Katanya, duti import yang dikenakan terhadap kenderaan import terpakai ialah sebanyak 30 peratus.

Ridzuan berkata, kenderaan yang diimport syarikat francais tidak dikenakan sebarang duti import sehingga menyebabkan sukar untuk kenderaan terpakai bersaing dengan kenderaan baharu daripada aspek penjualan.

“Berdasarkan perjanjian perdagangan antara Jepun dan Australia dengan Malaysia, kami (pemegang AP) juga sepatutnya layak menerima 'zero’ duti import terhadap kenderaan terpakai yang dibawa masuk.

Duti import sebanyak 30 peratus itu membebankan pemegang AP,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ridzuan memberitahu, ahli-ahli Pekema juga dikenakan levi berjumlah RM10,000 untuk sebuah kenderaan terpakai yang diimport, sedangkan francais tidak dikenakan apa-apa.

“Jadi, bagaimana kami mahu bersaing dengan francais?” ujar beliau.

Menurut Ridzuan, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan serta JKDM tetapi sehingga ke hari ini masih tidak mendapat sebarang kelulusan.

Katanya, perkembangan semasa ini jelas tidak memihak kepada pemegang AP, sedangkan francais terus mendapat pelbagai manfaat termasuklah menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-Jepun (MJEPA).

“Kerajaan perlu mempertimbangkan, apabila berlakunya situasi kegawatan ekonomi atau seumpamanya, pengilang dan francais dari luar negara ini yang akan 'angkat kaki’ terlebih dahulu, seperti yang berlaku di Australia.

Dulu negara itu merupakan pengeluar, tetapi apabila ekonominya mengalami masalah, semua syarikat luar yang melabur dalam sektor automotif `lari’.

“Jadi, kami minta kerajaan supaya keistimewaan yang dinikmati oleh pelabur luar dan francais turut sama diberikan kepada pemegang AP. Kami bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan
ekonomi negara, tetapi turut menawarkan peluang pekerjaan,” jelas beliau.