Menurut Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin, pihaknya menganggarkan bahagian pasaran Perodua adalah sebanyak 41.7 peratus pada Januari, sekali gus mencatat peningkatan sebanyak 9.2 peratus daripada 18,400 jualan unit kenderaan pada Disember 2018.

Kata beliau, peningkatan tersebut turut dibantu jualan model terbaharu Perodua iaitu Aruz yang sehingga kini telah menerima kira-kira 8,000 tempahan.

“Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangka masa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

“Walaupun Aruz telah mendapat respons yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 unit setakat ini, model-model kami yang lain juga turut diterima baik dengan lebih daripada 19,000 unit telah didaftarkan pada Januari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, model Perodua yang lain iaitu Axia, Bezza dan Alza juga dijual dengan jumlah yang banyak pada bulan lalu, masing-masing sebanyak 5,500, 3,400 dan 1,600 unit.

“Bagi model-model lain, jualan amat memberangsangkan dengan Perodua Myvi masih mengungguli jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada bulan Januari,” katanya.

Mengulas mengenai spekulasi peningkatan harga bagi Perodua Aruz, Zahari menegaskan harga tanpa insurans bagi model itu kekal pada RM72,900 bagi varian X dan RM77,900 bagi varian Advance. - UTUSAN ONLINE