Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, peningkatan jualan model kereta Bezza pada awal 2017 dan permintaan berterusan daripada model-model kenderaan lain mengekalkan momentum jualan kenderaan.


“Ia juga membantu menjadikan Perodua sebuah syarikat pembuatan kereta yang mempunyai jualan paling tinggi sepanjang 12 tahun beroperasi.


“Kita juga menjangkakan penjualan Perodua Myvi yang baharu pada tahun ini semakin meningkat berikutan tempahan yang diterima setakat ini sangat memberangsangkan iaitu 36,000 unit,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Laporan Prestasi Tahunan Perodua dekat sini hari ini.


Mengulas lanjut, Aminar Rashid berkata, pihaknya kini berusaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang membuat tempahan Myvi berkapasiti enjin 1.5 liter.


“Sebanyak 85 peratus pelanggan kita memilih Myvi 1.5 liter dan selebihnya 1.3 liter. Kita sebelum ini sasar 55 peratus 1.5 liter dan 45 peratus 1.3 liter,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE