Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, inisiatif selama sebulan tersebut adalah sebagai peringatan kepada para pengguna jalan raya mengenai peraturan asas serta aspek keselamatan berguna yang mampu menjimatkan masa dan wang ketika dalam perjalanan pulang untuk bertemu keluarga tersayang.

Ujarnya, program keselamatan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua yang dilancarkan pada Oktober 2017, bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan peraturan asas jalan raya.

“Perjalanan pulang semasa musim perayaan adalah lebih mencabar kerana terdapat banyak kenderaan di atas jalan raya. Pada ketika itu, adalah penting untuk kita terus bertenang, berwaspada dan berhemah ketika memandu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya intipati utama program keselamatan berkenaan adalah untuk menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar, menggunakan isyarat membelok, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan tidak menggunakan telefon mudah alih ketika memandu.

“Kami percaya pendidikan harus bermula daripada rumah dan oleh sebab itu Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua lebih menumpukan kepada mendidik masyarakat kita tentang pentingnya peralatan keselamatan di kenderaan mereka serta memupuk amalan memandu secara selamat dan berhemah,” katanya.

Program keselamatan dalaman Perodua bermula sebulan yang lalu dengan penganjuran kursus selama dua hari oleh Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia pada 15 dan 16 Mei.

Seramai 69 orang pekerja telah didedahkan dengan pelbagai topik keselamatan termasuk punca utama kemalangan dan prosedur pra-pemeriksaan kenderaan yang betul.

Tambah Aminar Rashid, Tweckbot Perodua akan berada di Petronas R&R Sungai Buloh pada 23 dan 24 Jun untuk pemeriksaan pasca-Raya dengan menawarkan sebanyak 20 peratus diskaun bagi alat ganti dan aksesori kepada semua kenderaan yang diperiksa yang kembali ke pusat servis sah Perodua di seluruh negara.

“Kepada pelanggan yang dihargai, sila selenggara kenderaan Perodua anda di pusat servis sah Perodua dan berhati-hati di jalan raya semoga selamat sampai ke destinasi,” katanya.-UTUSAN ONLINE