Minggu lalu juga, kami berkongsi bagaimana Facebook boleh digunakan untuk ini­siatif perniagaan. Hari ini, kami berkongsi tentang manfaat penggunaan saluran media sosial lain untuk pendekatan perniagaan yang berbeza dan unik.

Instagram

Pada 2016 rakyat Malaysia merupakan pengguna Instagram yang paling aktif di Asia Pasifik dengan 73 peratus daripada mereka disambungkan ke internet adalah aktif Instagramers. Sehingga 2017, peratusan pengguna Instagram meningkat kepada 56.1 peratus dengan 13.74 juta pengguna Instagram di ­Malaysia.

Ini menunjukkan Instagram adalah platform yang baik untuk peniaga kerana ia membolehkan peniaga berkongsi pendekatan yang lebih interaktif terhadap promosi yang boleh digunakan bagi menyambungkan pengguna secara visual.

Sama seperti Facebook, peniaga boleh memaksimumkan perbelanjaan mereka dengan melaburkan iklan pada khalayak sasaran. Dengan bantuan Instagram, para peniaga boleh menggunakan pendekatan sasaran yang lebih berkesan terhadap pengguna. Sebagai contoh, RekaTeemor adalah sebuah syarikat perancangan perkahwinan yang memberi penekanan kepada platform Instagram untuk aktiviti perniagaan mereka.

Perniagaan ini diasaskan oleh dua individu dan kini mem­punyai 136,000 pengikut di laman Instagram. Untuk menonjol sebagai perancang perkahwinan dalam kalangan pesaing mereka yang lain, RekaTeemor menggunakan platform ini untuk berkongsi imej hasil kerja mereka daripada pelanggan yang berpuas hati dan cara ini membantu meningkatkan permintaan perkhidmatan.

Oleh kerana pasangan muda hari ini adalah golongan milenium dan ke arah generasi Z, maka mereka akan mudah tertarik untuk menggunakan per­khidmatan itu ketika merancang perkahwinan.

Walau bagaimanapun, kelemahan menggunakan platform media sosial ini adalah pengguna yang biasanya lebih tertarik kepada produk dan bukannya butiran produk. Ini menjadikannya tidak ideal untuk mendidik pengguna mengenai produk atau mesej terperinci. Oleh itu, Instagram harus digunakan untuk menyebarkan mesej melalui visual dan bukan melalui teks. Tajuk di Instagram harus berfungsi untuk melengkapi imej dan bukan sebagai tumpuan utama.

Blog

Blogging mungkin kelihatan seperti platform lama tetapi ia memberi manfaat kepada perniagaan tertentu. Ia adalah antara alat perniagaan utama dalam talian yang boleh digunakan untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman dan pengetahuan mengenai kesesuaian platform yang berbeza.

Blogging sangat berguna kepada usahawan e-dagang yang berminat tetapi tidak ber­pe­ngalaman menguji aktiviti perniagaan dalam talian yang berbeza. Mark Zuckerberg, ­pengasas Facebook pernah berkata, “Adalah penting untuk meneroka sesuatu sebelum melaksanakan pelan”. Menguji pasaran akan membantu membina asas yang lebih kukuh untuk masa depan perniagaan.

Satu contoh hebat ialah Vivy Yusof yang menggunakan blog untuk memulakan Fashion Valet (FV). Vivy merupakan graduan lulusan undang-undang London School of Economics dan bukan orang asing kepada platform media sosial. Sebelum FV diasaskan, Vivy adalah seorang blogger dengan pengalaman selama 10 tahun yang kami tahu hari ini muncul sebagai platform e-dagang fesyen paling terkenal di Malaysia.

Kejayaan beliau itu diterbitkan di Forbes ‘30 di bawah 30 Asia’ pada 2017. Hari ini, Vivy adalah ikon fesyen hijab di ­Malaysia dan dijadikan idola oleh jutaan pengikutnya.

Walaupun blogging adalah permulaan yang hebat, ia mungkin memakan masa yang lama. Seperti yang kita boleh belajar daripada Vivy, ia mengambil masa 10 tahun untuk membuat blog sebelum bersaing dengan jenama besar.

Satu lagi contoh hebat ialah PaulTan.org, yang bermula sebagai blog sederhana untuk membincangkan tentang kereta dan topik berkaitan automotif. Hari ini, PaulTan.org dilawati lebih daripada 2.6 juta pelawat di Malaysia.

Sejak blog wujud lebih daripada satu dekad, cabaran untuk bersaing dengan blogger lain masih tetap wujud. Blog yang berjaya hari ini seperti PaulTan.org, Amanz.my dan banyak lagi telah melalui pe­ngalaman yang sama. Mereka menangani cabaran ini dengan sentiasa melakukan eksperimen melalui topik, idea dan kandungan berbeza untuk mengetahui jenis kandungan paling berjaya.

Najwan Nazim dan Jeremy Chew dari iPrice Group (https://iprice.my)