Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, pada akhir Julai lalu jumlah aset bank Islam dan institusi kewangan pembangunan (DFI) yang menawarkan produk perbankan Islam mencatat peningkatan 9.5 peratus kepada RM783 bilion berbanding RM714.8 bilion bagi tempoh sama 2016.

Jelasnya, jumlah pembiayaan Islam meningkat 12 peratus dan mencakupi 34.2 peratus daripada jumlah pinjaman dalam sistem perbankan sekali gus mencerminkan permintaan berterusan bagi produk kewangan patuh syariah.

“Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan pengeluaran pembiayaan kepada sektor perniagaan dan isi rumah. Lebih separuh jumlah pembiayaan disalurkan kepada isi rumah diikuti sektor kewangan, insurans, perkhidmatan perniagaan dan harta tanah serta pembinaan.

“Selain itu, jumlah deposit perbankan Islam meningkat 10.3 peratus kepada RM640 bilion. Pertumbuhan ini mewakili 33.4 peratus daripada jumlah deposit dalam sistem perbankan,” jelas laporan itu.

Dalam pada itu, Malaysia kekal sebagai peneraju inovasi kewangan Islam dengan penubuhan Platform Akaun Pelaburan (IAP) pada Februari 2016.

Menurut laporan itu, pembiayaan yang dijana melalui IAP pada separuh pertama 2017 melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM72 juta berbanding RM20 juta tempoh sama 2016.

Dalam pada itu, pasaran modal Islam (ICM) di Malaysia yang terdiri daripada permodalan pasaran ekuiti patuh syariah dan nilai sukuk terkumpul berkembang sebanyak 9.3 peratus.

“Pada akhir Julai 2017, nilai ICM Malaysia mencapai RM1.8 trilion iaitu 59.2 peratus daripada jumlah saiz pasaran domestik.

“Dalam tempoh sama juga Malaysia memegang 34 peratus aset di bawah pengurusan bagi dana Islam global daripada jumlah keseluruhan dana global berjumlah AS$74.6 bilion (RM315.67 bilion),” jelas laporan itu.

HABIS…