Menurut Laporan Ekonomi 2017/2018, penggunaan swasta dianggar meningkat 6.8 peratus berbanding 6.9 peratus pada 2017, disokong oleh peningkatan pendapatan berikutan persekitaran pasaran guna tenaga yang stabil, pendapatan eksport lebih tinggi dan harga komoditi lebih kukuh.

“Tambahan pula, pelbagai inisiatif kerajaan seperti pemberian bantuan tunai yang berterusan serta pelaksanaan program eUsahawan dan eRezeki dijangka meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah seterusnya menyediakan dorongan tambahan bagi perbelanjaan pengguna,” jelas laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, pelaburan swasta diunjur berkembang 8.9 peratus dan menyumbang 18.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2018 berbanding sumbangan sebanyak 17.5 peratus kepada KDNK pada 2017.

Selain itu jelasnya, permintaan domestik turut diunjur berkembang 5.5 peratus berbanding 6.4 peratus pada 2017, terutamanya dipacu oleh perbelanjaan sektor swasta yang menyumbang 72.9 peratus kepada KDNK.

Tambahnya, prestasi teguh sektor swasta berikutan persekitaran luar yang lebih baik membolehkan sektor awam terus melaksanakan konsolidasi kedudukan kewangan secara progresif.

Selain itu, perbelanjaan modal yang tinggi dijangka dalam sektor perkhidmatan terutamanya dalam industri berkaitan pelancongan, maklumat dan komunikasi, serta pengangkutan dan penyimpanan.

Dalam perkembangan lain, laporan itu turut menyatakan bahawa perbelanjaan sektor awam diunjur menguncup 0.4 peratus berikutan pelaburan awam yang merosot 3.1 peratus berbanding masing-masing 3.1 peratus dan 3.7 peratus pada 2017 terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan modal syarikat awam yang lebih rendah.

“Walau bagaimanapun, perbelanjaan pembangunan (DE) Kerajaan Persekutuan dijangka kekal sebanyak RM46 bilion. Sebahagian besar DE akan disalurkan kepada projek dan program berteraskan rakyat yang bernilai tambah lebih tinggi dan mempunyai hubungan intersektoral yang kukuh.

“Projek dan program ini termasuk pembinaan dan naik taraf kemudahan infrastruktur terutamanya di kawasan luar bandar serta pengukuhan pembangunan modal insan melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula pekerja,” jelas laporan itu.

habis