Pengarah Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Mara Warwick berkata, berdasarkan Laporan Ekonomi Digital Malaysia yang dikeluarkan hari ini, Malaysia telah melakukan banyak perkara yang tepat untuk mempromosikan ekonomi digitalnya sebagai satu daripada enjin pertumbuhan baharu ekonomi negara.

Katanya, ia dapat dilihat dari pendigitalan penyampaian per­khidmatan awam sehinggalah memperluas perhubungan bagi mempromosikan keusahawanan digital.

Namun katanya, terdapat beberapa aspek yang boleh ditambah baik bagi menggalakkan sektor perniagaan di Malaysia menggunapakai teknologi digital.

“Ketika ini lebih banyak firma besar yang mendominasi segmen e-dagang berbanding perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Selain itu, kekurangan persai­ngan dalam pasaran jalur lebar tetap telah menyebabkan perkhidmatan internet menjadi lebih perlahan dan lebih mahal daripada yang sepatutnya.

“Jika berjaya menangani cabaran-cabaran ini, sudah tentunya ia akan memberi lebih banyak potensi terhadap ekonomi digital Malaysia,” katanya pada Persida­ngan Dasar Awam Dalam Dunia Digital serta pelancaran Laporan Ekonomi Digital Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah; Pengarah Negara Malaysia World Bank Group, Firas Raad dan Ketua Ekonomi World Bank Group, Richard Record.

Sementara itu Record berkata, Laporan Ekonomi Digital Malaysia telah mengetengahkan empat kunci dasar utama bagi meneroka potensi penuh ekonomi digital di Malaysia.

Katanya, empat teras utama itu adalah mewujudkan ekosistem digital yang lebih dinamik selaras dengan peningkatan persaingan; memberi akses kepada sambungan internet yang pantas dan murah; meningkatkan modal insan melalui kurikulum yang lebih baik dan peluang pembelajaran sepanjang hayat serta melindungi pendapatan cukai digital pada masa hadapan.

“Laporan itu juga menggariskan kepentingan memaksimumkan manfaat ekonomi digital untuk semua rakyat Malaysia selain daripada prestasi masa lalu Malaysia yang telah menawarkan keyakinan besar terhadap pelabur mengenai prospek masa hadapan ekonomi digitalnya,” katanya.