Itulah pendapat Penganalisis Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Adli Amirullah yang ditanya mengenai prestasi ekonomi negara yang kelihatan semakin memburuk.

Beliau berkata, kerajaan perlu menetapkan polisi ekonomi yang jelas selain tidak membuat sebarang keputusan yang boleh ‘memeningkan’ pasaran untuk mengembalikan keyakinan para pelabur asing.

Menurut beliau, kerajaan tidak seharusnya mengendahkan kebimbangan pelabur asing terhadap pasaran Malaysia dan hal tersebut sering kali dibangkitkan oleh para pelabur, sektor korporat dan penganalisis kewangan.

“Antara sentimen dan faktor kenapa keyakinan pelaburan asing masih belum pulih pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah ketiadaan polisi atau pelan ekonomi yang kukuh oleh kerajaan baharu. Selagi pelabur tidak mengetahui arah tuju polisi ekonomi negara untuk tempoh lima tahun ini, selagi itu keyakinan pelabur tidak akan pulih.

“Contohnya menteri-menteri Kabinet memainkan peranan penting dalam menyampaikan sebulat suara mengenai sesuatu polisi ekonomi dan berpegang teguh dalam setiap keputusan yang dipilih agar pelabur lebih yakin mengenai setiap keputusan polisi yang dicadangkan oleh kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Adli, keadaan pasaran Malaysia yang tidak memberangsangkan harus difahami kerana ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor sama ada dalaman atau luaran.

Jelasnya, faktor luaran adalah di luar kawalan kerajaan antaranya perang perdagangan Amerika Syarikat dan China, tetapi faktor dalaman boleh ditangani seperti mengembalikan kepercayaan institusi.

“Oleh itu, kekurangan keyakinan pelabur terhadap pasaran Malaysia boleh dipulihkan melalui polisi-polisi dalam negara yang kukuh dan mampan.

“Kerajaan memainkan peranan dalam memastikan polisi ekonomi negara mempunyai hala tuju yang terperinci dan jelas bagi meyakinkan pelabur-pelabur asing terhadap pasaran negara,” ujarnya.

Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei 2018 selepas menang PRU-14. Keyakinan terhadap kerajaan baharu itu sangat rapuh apabila banyak polisi yang tidak jelas walaupun hampir setahun mentadbir negara.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan prestasi menteri-menteri Kabinet yang dianggap lemah kerana tiada persefahaman dan koordinasi yang seragam seperti yang melibatkan Lynas Corporation Ltd. (Lynas).

Itu belum lagi mengambil kira pusingan-U terhadap beberapa projek mega seperti Projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Keadaan itu jelas memberi isyarat negatif kepada para pelabur baharu yang mahu datang ke Malaysia. Pertindihan kepentingan politik dan ekonomi negara perlu dielakkan.

Hentikan menyalahkan pihak terdahulu jika diri sendiri yang gagal untuk mentadbir dengan baik.