Institut Ejen dan Pakar Perunding Profesional Malaysia (MIPEAC) dalam kenyataannya berkata, ia merupakan suatu kerugian jika promosi MM2H tidak ditingkatkan atau menggalakkan lebih banyak pelaburan asing dalam sektor hartanah negara.

“Kita harus lebih terbuka kepada pembeli asing yang mempunyai kuasa perbelanjaan yang lebih tinggi untuk memasuki pasaran berikutan lebihan kediaman bernilai RM20 bilion,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa Cawangan Malaysia (FIABCI), Michael Geh dalam portal berita baru-baru ini berkata, Malaysia wajar menggalakkan lebih ramai pembeli asing membeli hartanah tempatan bagi menangani isu unit tidak terjual di negara ini.

“Secara umumnya, usaha untuk memacu pelaburan asing dalam segmen lain seperti hartanah komersial dan perindustrian perlu diambil dengan lebih serius. MIPEAC percaya banyak lagi yang boleh dilakukan untuk menggalakkan pembeli dan pelabur asing memasuki pasaran hartanah negara.

“Pembangunan mewah boleh dipasarkan secara lebih intensif di seluruh dunia bersama-sama promosi yang dilakukan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Walaupun pemeriksaan latar belakang yang lebih ketat untuk pemohon MM2H dilakukan baru-baru ini, MIPEAC memuji usaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam mempercepat proses kelulusan permohonan menerusi penubuhan pasukan petugas khas.

Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor ICT di Malaysia juga akan menarik lebih banyak pekerja asing profesional yang seterusnya menggalakkan lebih banyak pembelian hartanah oleh ekspatriat. - BERNAMA