Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), eksport me­ningkat 6.3 peratus kepada RM650.56 bilion, manakala import meningkat lebih perlahan sebanyak 5.6 peratus kepada RM580.11 bilion.

Katanya, lebihan dagangan bagi tempoh tersebut naik 11.9 peratus kepada RM70.45 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Jumlah perdagangan pada Ogos 2018 naik 5.1 peratus dari tahun sebelumnya mencecah RM162.01 bilion dengan perdagangan yang tinggi bersama China, Hong Kong, Taiwan, Arab Saudi, Korea Selatan, ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

“Eksport pada Ogos 2018 kekal melebihi paras RM80 bilion kepada RM81.81 bilion, iaitu pengurangan marginal sebanyak 0.3 peratus manakala import merekodkan satu pencapaian baharu sebanyak RM80.2 bilion meningkat 11.2 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ia membawa kepada penguncupan 83.7 peratus dalam lebihan dagangan kepada RM1.61 bilion yang merupakan kali ke-250 bulan berturut-turut sejak November 1997.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, import berkembang tiga peratus manakala jumlah dagangan, eksport dan lebihan dagangan masing-masing menyusut kepada 1.2 peratus, lima peratus dan 80.7 peratus.

Bagi prestasi sektor-sektor utama, eksport barangan perkilangan pada Ogos 2018 naik 1.8 peratus tahun ke tahun kepada RM68.5 bilion, me­rangkumi 83.7 peratus daripada jumlah eksport.

Peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), kimia dan bahan kimia, barangan besi dan keluli, serta barangan optik dan saintifik.