Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, eksport bagi industri elektrik dan elektronik (E&E) kekal kukuh.

Menurut beliau, eksport yang terjejas hanya melibatkan minyak sawit.

“Sektor lain setakat ini tidak menunjukkan sebarang kesan negatif,” katanya dalam sidang akhbar Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) SEMICON Southeast Asia di sini hari ini.

Menurut Matrade, perdagangan dengan EU pada Februari tahun ini turun sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM13.35 bilion atau 10.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport ke EU mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada RM7.68 bilion disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan pembuatan khususnya produk E&E, logam, jentera, peralatan dan alat ganti serta produk pembuatan berasaskan minyak sawit.

Antara 10 pasaran EU yang menyumbang 89.7 peratus jumlah eksport Malaysia ialah Sepanyol, Ireland, Itali, Jerman, Perancis dan Republik Czech. - UTUSAN ONLINE