Menurut Affin Hwang Capital Research, pihaknya menjangkakan trend pertumbuhan itu kembali semula susulan pelaksanaan projek pembinaan yang sebelum ini ditangguhkan.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sebelum ini juga telah melaksanakan projek-projek pembinaan utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Menara Berkembar Petronas dan penswastaan le­buh raya utama bagi merangsang pertumbuhan ekonomi sebelum Krisis Kewangan Asia dan juga sebelum beliau meletakkan jawatan pada 2003.

“Kami menjangkakan beliau (Perdana Menteri) akan memacu perbelanjaan infrastruktur tetapi dengan pengurusan kos yang lebih bijak.

“Kami juga menjangkakan perbelanjaan infrastruktur pada 2020 akan meningkat bagi menyokong pertumbuhan KDNK negara memandangkan risiko luaran semakin meningkat,” katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

Firma penganalisis itu hari ini menaik taraf sektor pembinaan daripada Neutral kepada Overweight susulan pengu­muman Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) baru-baru ini berkenaan kontrak bagi kerja-kerja sivil untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM44 bilion.

Menurut MRL, Jawatankuasa Penilaian Program Pra-Kelayakan (Pre-Q) yang diwakili olehnya dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah menyenarai pendek 331 atau 25.1 peratus daripada 1,321 buah syarikat kontraktor Malaysia yang berpotensi menjadi penender bagi projek ECRL tersebut.

MRL berkata, kesemua syarikat yang berjaya disenarai pendek akan menerima surat bertulis daripada CCCC sebelum akhir Ogos ini.

Affin Hwang berkata, antara syarikat yang dijangka menerima tawaran tender bagi projek berkenaan termasuklah AQRS, Pintaras Jaya, WCT Holdings, WZ Satu dan Sunway Construction.

“Kami menjangkakan mereka merupakan syarikat-syarikat yang telah pralayak bagi tender untuk subkontrak kerja ECRL.

“Kami percaya IJM Corp dan Malaysian Resources Corp. mungkin mendahului berdasarkan rekod kejayaan mereka yang mantap,” katanya.