Kisah ini menceritakan sekumpulan lelaki ditutup mata mereka dan diminta menyentuh gajah dan menggambarkan apa yang mereka rasa. Orang yang menyentuh belalai gajah menggambarkan gajah itu sebagai tali, orang yang menyentuh kaki mengatakannya sepohon kayu. Masing-masing mempunyai gambaran berbeza, disebabkan setiap seorang daripada mereka hanya menyentuh bahagian khusus haiwan tersebut.

Begitulah juga, perbankan Islam telah diasing-asingkan mengikut pengalaman berbeza setiap orang mengenainya. Ada yang menggambarkannya sebagai ‘perbankan bebas faedah’ manakala yang lain menerangkannya sebagai suatu bentuk perbankan di mana hanya ‘struktur asas hendaklah patuh syariah’.

Sementara semua ini merupakan elemen-elemen penting, namun ia tidak menggambarkan gagasan sebenarnya. Jadi, di sebalik berdebat mengenai apa itu perbankan Islam, mari tinjau pada ‘kaedah Islam dalam perbankan’, sesuatu yang me­langkaui definisi dan menyentuh prinsip-prinsip kewangan Islam.

Kesejagatan kewangan Islam

Pertama, kita tidak boleh memikirkan perbankan Islam sekadar untuk orang Islam sahaja. Kewangan Islam adalah bersifat sejagat kerana ia mempromosikan ‘ekonomi sebenar’ dan mewujudkan, menerusi sistem kewangan, suatu masyarakat yang memiliki pengagihan kekayaan dan kemakmuran yang saksama.

Negara-negara yang mampu mencapai pertumbuhan lebih tinggi, kadar pengangguran rendah, lebih banyak pelaburan dengan pengagihan saksama kekayaan, pastinya telah mencapai satu daripada matlamat kewangan Islam.

Fikirkan melangkaui sekadar struktur dan produk

Pengamal perbankan Islam menggunakan pelbagai struktur seperti musharakah (perkongsian), murabaha (berasaskan berdagang atas kos dicampur keuntungan) bertujuan mengelakkan ‘faedah’ yang tidak dibenarkan di dalam Islam.

Mari berhenti sejenak untuk memahami kenapa faedah dilarang. Ini kerana mengikut prinsip Islam, wang bukan suatu ‘komoditi’, tetapi hanya ‘perantara untuk pertukaran’. Memandangkan ia hanya perantara pertukaran, justeru, wang tidak boleh dijual pada harga le­bih tinggi daripada nilai asasnya atau disewa.

Keuntungan seharusnya diraih menerusi ‘aktiviti ekonomi sebenar’ seperti berdagang dan meraih yuran daripada penye­diaan perkhidmatan, maka menyumbang ke arah pemba­ngunan dan kemakmuran yang lebih besar.

Definisi perbankan Islam

Oleh itu, dengan menggunakan struktur-struktur ini bagi mengelakkan faedah, apakah transaksi atau produk itu patuh syariah? Ada yang berkata ya, tetapi ini akan mirip kepada memberi definisi perbankan Islam sebagai perbankan bebas faedah semata-mata iaitu defi­nisi yang sangat sempit.

Kaedah Islam dalam perbankan termaktub kepada memberi penekanan saksama kepada aspek-aspek perniagaan lain seperti ketelusan, pendedahan sepenuhnya kerosakan, eksploitasi sifar dan layanan adil kepada pelanggan. Malah, memberi layanan adil terhadap penghutang yang tidak mampu membayar balik disebabkan alasan-alasan sahih seperti kehilangan kerja atau bencana kewangan.

Kita perlu memberi pertimbangan di dalam kes-kes seumpamanya dan mengemukakan aturan dengan pelanggan berdasarkan alasan kemanusiaan sehingga pelanggan boleh membayar semula. Jadi, sehingga atau bila kita mematuhi prinsip ini, kita bukan mematuhi kaedah Islam dalam perbankan. Ini adalah makna perbankan Islam yang lebih luas, bukan ha­nya sekadar struktur produk.

Membezakan perbankan Islam

Perbankan Islam hari ini berada di persimpangan jalan. Walaupun ia sudah muncul dengan produk-produk patuh syariah, namun sumbangannya kepada masyarakat atau ‘ekonomi sebenar’ adalah hampir sama de­ngan perbankan konvensional.

Oleh itu, jika kaedah Islam perbankan seharusnya menjadi lebih telus dan bertimbang rasa terhadap penghutang, maka ia harus menawarkan pengalaman lebih mesra kepada pe­langgan?

Barisan produk patuh syariah yang kita ada hari ini telah dibangunkan sejak 15 hingga 20 tahun lalu. Dalam usahanya mengejar perbankan konvensional, pembangun produk Islam ‘mereplikakan’ produk-produk konvensional. Hasilnya, dua produk yang mempunyai struktur asas berbeza tetapi sama sahaja pengalaman kepada pelanggan.

Ketika perlumbaan pemba­ngunan produk dengan produk konvensional kini hampir tamat, bank-bank Islam perlu membezakan diri mereka dari segi pengalaman pelanggan dan kembali kepada tujuan asal ­ka­edah Islam dalam perbankan.

Perubahan minda

Semua pemegang saham, termasuk penggubal undang-undang, mempunyai peranan untuk mewujudkan perubahan minda. Wajar diadakan usaha bersama bagi membangunkan model kewangan yang menjana ‘aktiviti ekonomi sebenar’ de­ngan mencipta model penyertaan pelaburan di dalam usaha sama perniagaan yang berdaya maju, melindungi hak pelabur dan pendeposit dan menyediakan peluang kepada usahawan dan perniagaan kecil untuk mempunyai akses kepada dana modal.

Inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai Bank Negara Malaysia adalah langkah yang menggalakkan untuk melangkah ke arah ini. Ia bermatlamat melakukan perbankan melangkaui keuntungan dan tertumpu kepada aktiviti-aktiviti yang mencipta impak positif ke atas ekonomi, masyarakat dan ­pla­net ini.

Kita perlu melaksanakan pendekatan yang lebih holistik terhadap perbankan Islam dengan memberi fokus kepada tujuan asalnya dan mencipta pengalaman pelanggan yang berbeza.

Hanya selepas itu kita akan mampu menghargai nilai kesejagatan sistem kewangan yang bertujuan mencipta kemakmuran ekonomi sebenar dengan pengagihan kekayaan yang saksama.

Jadi, lagi sekali anda mendengar sesiapa menyebut mengenai perbankan Islam sebagai perbankan bebas faedah, fikirkanlah kisah ‘orang buta dan gajah’!