Kajian Dun & Bradstreet mendapati Indeks Keyakinan Perniagaan (BOI) Malaysia menjadi sederhana kepada 8.92 mata peratus pada suku pertama 2019 berbanding 12.99 mata peratus pada suku keempat 2018.

Ia juga berbeza dengan sentimen perniagaan dalam kalangan syarikat Malaysia mencapai paras

AUDREY CHIA
AUDREY CHIA 

kemuncak baharu pada suku pertama 2018 dipacu momentum pertumbuhan yang terus meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Dun & Bradstreet, Audrey Chia menjangkakan sentimen dalam kalangan firma tempatan menjadi sederhana susulan pertumbuhan industri berorientasikan luar seperti perdagangan borong yang lebih lemah.

Katanya, firma pembinaan dan perlombongan yang masih samar-samar prospeknya turut memberi impak kepada para peniaga tempatan.

“Bagaimanapun, bagi 2019, syarikat menjangkakan pelaburan yang lebih tinggi untuk pengembangan perniagaan berbanding tahun sebelumnya.

“Ini terutamanya meliputi pelaburan teknologi dalam perisian, infrastruktur, mesin dan mo­dal peralatan,” katanya di sini hari ini.

BOI Malaysia dikeluarkan Dun & Bradstreet bertujuan mengukur keyakinan peniaga terhadap ekonomi.

Terdapat enam petunjuk perniagaan di bawah kajian BOI suku tahunan iaitu jumlah jualan, keuntungan bersih, harga jualan, tahap inventori, pekerja dan pesanan baharu.

Menurut kajian itu, hanya dua daripada enam petunjuk iaitu pekerjaan dan tahap inventori telah mencatatkan peningkatan pada asas suku ke suku.

Paling ketara, jumlah jualan merosot daripada 25.98 mata peratus pada suku keempat 2018 kepada 7.06 mata peratus pada suku pertama 2019.

Keuntungan bersih menurun daripada 15.69 mata peratus pada suku keempat 2018 kepada 8.82 mata peratus pada suku pertama 2019.

Harga jualan jatuh kepada 2,94 mata peratus begitu juga pesanan baharu menurun sedikit kepada 15.88 mata peratus pada suku pertama 2019.

Kajian menunjukkan sektor pengangkutan, borong dan perkhidmatan muncul sebagai sektor yang paling meyakinkan manakala sektor pembinaan dan perlombongan adalah pa­ling kurang optimistik.