.
 

Petang ini, ringgit ditutup pada RM3.9950 setelah memulakan dagangan awal pagi pada RM3.9880 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Mata wang tempatan itu pernah mencecah RM3.98 pada 19 Julai 2016.

Antara sektor tersebut terma­suklah tenaga yang menurut Peng­analisis HLIB Research, Daniel Wong (gambar), walaupun pembelian arang batu di dominasi dalam dolar AS tetapi sektor tenaga negara dilin­dungi di bawah mekanisme perjanjian pembelian tenaga (PPA) iaitu membabitkan penjana tenaga bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) manakala Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pula antara TNB dan pengguna.

Jelas beliau, menerusi ke­dua-dua mekanisme itu, ia akan mengambil kira kos bahan api yang efektif dalam ringgit sebelum dilepaskan kepada pengguna sama ada menerusi pelarasan tarif elektrik yang rendah atau tinggi.

Beliau berkata, harga tenaga bahan api yang tinggi tidak dapat dielakkan akan membawa kepada tarif yang lebih tinggi secara tidak langsung memerlukan pengguna mengurangkan tenaga elektrik dan ini menyebabkan pertumbuhan permintaan tenaga menurun, tetapi ia mungkin tidak penting kepada TNB dan IPP.

Bagaimanapun katanya, syarikat utiliti negara, TNB akan me­raih manfaat daripada ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS dan yen memandangkan pendedahan kepada pinjamannya berjumlah RM6.6 bilion yang dalam dolar AS dan RM2.9 bilion dalam yen dari segi pembayaran semula yang rendah dan servis faedah dalam ringgit.

“Dari satu aspek pula, TNB akan memperoleh sumbangan pendapatan dalam denominasi ringgit yang rendah menerusi syarikat pegangannya di luar negara iaitu Gama Enerji (Turki), GMR Energy (India) dan Vortex (United Kingdom). Oleh itu, kesannya dijangka minimum berdasarkan kepada asas pendapatan besar TNB sebanyak RM8 bilion.

“Keadaan berbeza pula bagi YTL Power International Bhd. (YTL Power) apabila menerima kesan dari segi tukaran ringgit yang rendah menerusi operasi entitinya di luar negara iaitu, Seraya di Singapura dan Wessex (United Kingdom),” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Sementara itu, RHB Research berpendapat, pengukuhan ringgit pada minggu pertama 2018 didorong oleh lebihan dagangan yang kukuh dan harga mi­nyak le­bih tinggi dalam tempoh tersebut di samping unjuran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun ini.

Jelasnya, pada 2017, ringgit mengukuh 9.5 peratus selepas menyusut sebanyak 4.5 peratus pada 2016 dan menjangkakan mata wang tempatan itu terus meningkat secara berperingkat hingga mencecah RM3.95 berbanding dolar AS akhir tahun ini berbanding RM4.062 dicatatkan akhir 2017, didorong oleh lebihan akaun semasa.