Pensyarah Kanan Fakulti Sya­riah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, ini kerana masyarakat di negara ini masih keliru me­ngenai status penggunaan bitcoin yang boleh mewujudkan masalah me­mandangkan ia hanya boleh dikesan dan dipantau oleh pihak-pihak terlibat tanpa penglibatan pengawal selia yang bertauliah.

Katanya, terdapat juga kebimbangan ia mungkin terdedah kepada risiko penyelewengan untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Pengunaan bitcoin telah mendapat perhatian Bank Negara Malaysia (BNM) sejak beberapa tahun yang lalu hingga mengeluarkan kenyataan mengenai bitcoin bahawa ia mata wang digital yang tidak diiktiraf sebagai sah diperlakukan di Malaysia.

“Sudah sampai masa­nya peraturan mengenai bitcoin ini dibentuk sebelum kita terlewat dan berada di luar kawalan kerajaan hingga menyusahkan orang ramai pada masa akan datang. Saya berharap isu berkaitan bitcoin dapat diteliti oleh pihak-pihak berkaitan,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengeluarkan notis yang mengarahkan penganjur Lavida Coin untuk menghentikan serta-merta semua aktiviti promosi berkaitan Lavida Coin sementara penelitian lanjut dijalankan terhadapnya.

SC dalam kenyataannya berkata, pihaknya turut menyenaraikan penganjur Lavida Coin iaitu DSV Crypto Club, LUX Galaxies dan VI Profit Galaxy yang didapati mempromosi Lavida Coin dalam Senarai Berwaspada Kepada Pelabur.

Jelas Muzaffar, dari sudut Islam pula, fatwa mengenai perkara tersebut masih belum dikeluarkan lagi di Malaysia dan berharap Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menyelidiki isu berkenaan de­ngan segera dan mengeluarkan fatwa yang jelas mengenai penggunaan bitcoin.

Sementara itu, Ketua Penasihat Pengurusan Bisnes, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), Razli Ramli berkata, notis arahan SC untuk menghentikan semua aktiviti promosi ke atas LaVida Coin adalah amat tepat memandangkan sehingga kini, di Malaysia, tidak ada lagi status kepatuhan syariah mata wang digital.