SC berkata, keutamaan Jawatankuasa GEM IOSCO antara lain, tertumpu kepada kerja-kerja dasar dan pembangunan yang berkaitan dengan pasaran pesat membangun, penilaian risiko dan kerentanan serta pembinaan kapasiti kawal selia. 

Katanya, ia merupakan jawatankuasa terbesar IOSCO yang mewakili hampir 80 peratus keanggotaan IOSCO termasuk 11 daripadanya anggota 20 ekonomi terbesar di dunia (G20).

“Selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa GEM, Syed Zaid akan menjadi ahli Lembaga IOSCO, badan pentadbir dan penetap piawaian IOSCO dan beliau juga akan mempengerusikan Kumpulan Kerja Jawatankuasa GEM IOSCO mengenai Kemapanan dalam Pasaran Pesat Membangun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Syed Zaid berkata, kerjasama dan penglibatan antarabangsa melalui IOSCO adalah penting memandangkan persekitaran pasaran yang semakin kompleks, inovasi kewangan yang kian berkembang dan aktiviti rentas sempadan yang meningkat.

“Kedudukan kepemimpinan Malaysia di IOSCO memperkukuhkan komitmen SC untuk memacu agenda kewangan digital dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam kewangan mapan,” katanya.

IOSCO merupakan penetap piawaian global terkemuka bagi pengawalseliaan sekuriti, yang mana keanggotaannya mengawal selia lebih 95 peratus pasaran sekuriti dunia dalam lebih 115 bidang kuasa.

SC menubuhkan Hab IOSCO Asia Pasifik di Kuala Lumpur, Hab Serantau pertama yang ditubuhkan di luar ibu pejabat IOSCO di Madrid, Sepanyol. - UTUSAN ONLINE