Pengerusi TDM Berhad, Datuk Raja Idris Raja Kamarudin berkata, kumpulan merekodkan keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM17.3 juta berbanding RM28.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pendapatan kumpulan bagi tiga bulan pertama tahun ini menurun sebanyak 10 peratus berbanding suku tahun sama pada 2018 disebabkan oleh pengeluaran tanaman yang lebih rendah dan hasil jualan kelapa sawit di sektor perladangan, namun ia diimbangi dengan hasil penjagaan kesihatan yang lebih tinggi dengan peningkatan sebanyak 14 peratus.

“Kami menjangkakan pemulihan akan dibantu dengan pertumbuhan keluaran tanaman yang perlahan antara 2019-2020 daripada penanaman semula di Malaysia dan kawasan matang yang lebih rendah di Indonesia.

“Sepanjang beberapa bulan yang lalu, kami telah menjalankan kajian dan memeriksa operasi dan mengenal pasti pelan untuk memfokuskan semula operasi melalui Rancangan Penciptaan Nilai (VCP) memaksimumkan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dan minyak sawit mentah (MSM),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-54 TDM Berhad di Hotel Primula di sini hari ini.

Menurut Raja Idris, kumpulan optimistik terhadap asas-asas jangka panjang industri dan akan memberi fokus dalam meningkatkan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran.

Beliau menarik perhatian, sektor penjagaan kesihatan terus menunjukkan prestasi yang kukuh pada suku pertama 2019 dengan peningkatan pendapatan 14 peratus kepada RM58.1 juta berbanding RM51.1 juta pada 31 Mac 2018 didorong oleh bilangan pesakit dan pesakit luar yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 11 peratus dan 5 peratus.

“Kami yakin pertumbuhan sektor ini akan disokong oleh VCP dalam meningkatkan margin dan pengenalan modaliti perkhidmatan baharu yang merangkumi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di seluruh kemudahan perubatan bersama dengan pengenalan aplikasi mudah alih untuk kemudahan yang lebih mudah, akses kepada data dan jangkauan pelanggan.

“Selain itu, Pusat Kecemerlangan (COE) akan turut diwujudkan di setiap hospital dan kami juga akan menyediakan penjagaan kesihatan yang komprehensif dengan memperkenalkan pelbagai perkhidmatan baharu misalnya perkhidmatan penjagaan mata di Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), perkhidmatan endovascular (Taman Desa Medical Centre) dan perkhidmatan angioplasty (Kuantan Medical Centre). - UTUSAN ONLINE