Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias menjelaskan perkara tersebut bergantung kepada jenis aset dan syarikat yang dapat memenuhi profil pelaburan syarikat pengurusan dana persaraan berkenaan.

Beliau berkata, segala keputusan melibatkan pelaburan KWSP akan melibatkan banyak rundingan dan proses usaha wajar yang dipandu oleh peruntukan aset strategik (SAA) syarikat tersebut bagi memastikan pulangan dana optimum dalam lingkungan toleransi risiko.

“Kami terbuka untuk mene­roka peluang (memiliki kepen­tingan) kerana kami melihat industri insurans merupakan sektor yang berkembang pantas di Malaysia. Kami juga sedar ramai rakyat masih tidak mempunyai insurans dan syarikat-syarikat yang menawarkan insurans mempunyai infrastruktur yang baik.

“Kebiasaannya, KWSP tidak akan melakukan pendekatan besar sebaliknya lebih kepada pemerolehan strategik. Kami tidak percaya kepada penguasaan pengurusan. Itu adalah strategi kami.

“Sebanyak 30 peratus kepen­tingan ekuiti dijual oleh syarikat insurans asing. Sememangnya kami akan memiliki sebahagian daripada kepentingan yang ditawarkan. Namun semuanya dalam proses rundingan ketika ini,” katanya dalam taklimat media prestasi kewangan 2018 KWSP di sini hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengarahkan syarikat insurans asing supaya mematu­hi peraturan pemilikan asing yang mengkehendaki mereka mening­katkan pemilikan tempatan sebanyak 30 peratus.

Awal tahun lalu, KWSP dilaporkan sedang dalam proses perbincangan dengan syarikat insurans Singapura, Great Eas­tern Holdings Ltd. bagi memiliki kepentingan ekuiti dalam syarikat tersebut.

Sementara itu, Tunku Alizakri berkata, pendapatan pelaburan KWSP tahun lalu menurun sebanyak 4.3 peratus kepada RM50.88 bilion dise­babkan beberapa peristiwa domestik dan global yang telah memberi kesan kepada pasaran seluruh dunia.

Jelas beliau, beberapa peristiwa utama yang telah berlaku tahun lalu termasuk perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, kejatuhan harga minyak mentah, proses Brexit serta peningkatan kadar faedah dan pilihan raya pertengahan penggal AS telah mewujudkan ketidakpastian pasaran.

Di Malaysia, katanya, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu juga mengakibatkan ketidakpastian dalam pasaran selepas pertukaran kerajaan.

“Apa yang dirasai KWSP ini juga dirasai oleh organisasi dana persaraan lain seluruh dunia termasuk Jepun, Kanada, AS dan United Kingdom yang turut merekodkan kerugian tahun lalu.

“Kami menjangkakan keti­dakpastian pasaran akan berte­rusan tahun ini disebabkan beberapa perkembangan yang mungkin akan memberi kesan langsung kepada ekonomi glo­bal,” ujar beliau.