Pengerusinya, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, meskipun begitu, PNB telah mencatat peningkatan sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun bagi jumlah Aset di Bawah Pengurusannya (AUM) yang kini melebihi paras RM300 bilion buat pertama kali untuk mencecah RM301.4 bilion.

Katanya, bilangan peme­gang akaun juga meningkat 5.2 peratus kepada 14.1 juta akaun menggambarkan keyakinan berterusan rakyat Malaysia terhadap PNB.

Jelas beliau, Kajian Separuh Penggal Pelan Strategik PNB sedang berjalan lancar dalam tiga bidang utama yang telah dikenal pasti untuk me­ningkatkan lagi pelan tersebut iaitu Peruntukan Aset Strategik dan Pengurusan Kecairan Optimum, Pengurusan Risiko Organisasi dan Transformasi Organisasi.

“Pelaksanaan kajian semula ini sangat penting dalam usaha PNB untuk terus memberi pulangan mapan dalam jangka sederhana dan yang lebih panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pembentangan pres­tasi PNB bagi separuh pertama 2019 dan pengumuman pe­ngagihan pendapatan di sini hari ini. Yang turut hadir, ­Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Menurut Zeti, sebagai sebahagian daripada fokus PNB untuk 2019, strategi kepelbagaian syarikat juga akan dipercepatkan ke seluruh kelas aset untuk mengoptimumkan ­pulangan dan meminimumkan pendedahan risiko.

“Hasil daripada inisiatif ini, peruntukan portfolio PNB dalam sekuriti pendapatan tetap dan aset global telah meningkat masing-masing kepada 7.4 peratus dan 4.9 peratus pada akhir Mei 2019, berbanding 5.8 peratus dan 2.4 peratus pada 2017,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PNB mempertimbangkan untuk meningkatkan pelaburan di luar negara meliputi pelbagai kelas aset termasuk ekuiti antarabangsa, pendapatan tetap dan ­hartanah.