Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Berhad, Datuk Kamarudin Meranun berkata, AirAsia akan tetap melaksanakan strategi pengembangan pasaran di China dengan meningkatkan kekerapan perjalanan, pemasaran dan membina infrastruktur asas.

Menurutnya, kegagalan untuk meneruskan perancangan mem­bina LCCT disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya tidak mendapat lesen serta tiada rakan penerbangan yang sesuai untuk usaha sama berkenaan.

“Mungkin ketika ini bukan waktu yang sesuai untuk AirAsia, namun tidak menolak kemungkinan akan melihat semula perkara ini pada masa hadapan. Kami merupakan antara pemain industri penerbangan yang signifikan di China dan akan kekal begitu.

“Walaupun tidak dapat menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik di China kami masih menawarkan penerbangan terus daripada pelbagai destinasi antarabangsa.

Keutamaan sekarang adalah untuk pasaran Asia yang mana ia menyediakan peluang pertumbuhan yang besar kepada Kumpulan,” katanya dalam majlis menandata­ngani memorandum per­sefahaman (MoU) antara AirAsia Indonesia dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye; Timbalan Menteri Kewa­ngan, Datuk Dr. Ir. Amiruddin Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan.

AirAsia dalam maklumannya kepada Bursa minggu lalu me­nyatakan perjanjiannya de­ngan China Everbright Group dan Henan Go­vernment Working Group pada Mei tahun lalu bagi menubuhkan syarikat penerbangan tambang murah di China termasuk cadangan pembinaan LCCT tidak diteruskan.

Mengenai kerjasama dengan MHTC, Kamarudin berkata, Air­Asia akan menjadi rakan penerbangan bagi memacu industri pelancongan kesihatan terutama dari Indonesia.

Katanya, MoU tersebut akan menjalani tempoh percubaan selama empat bulan dengan menggunakan penerbangan langsung AirAsia Indonesia dari bandar-bandar negara berkenaan ke Pulau Pinang.