Pengurus Negara, Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Malaysia, Tara Latini (gambar) berkata, faktor itu turut mempengaruhi pembuatan keputusan di United Kingdom dan Perancis.

Bagaimanapun katanya, pembelian kediaman di Si­ngapura, Australia, Kanada, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Mexico banyak dipengaruhi oleh sentimen atau kepercayaan tertentu.

“Singapura dan Taiwan mi­salnya melihat kepada nombor pintu atau nama jalan dan Feng Shui manakala Australia memilih berdasarkan kesesuaian nama jalan. Kanada dan UAE masing-masing menilai elemen mistik sementara AS dan Mexico melihat faktor kematian.

“Membeli hartanah merupakan pembelian terbesar dan signifikan kepada seseorang yang mana ia boleh menyebabkan keghairahan berlebihan kepada sesetengah pembeli. Kewujudan majalah, program televisyen dan laman web menyukarkan lagi proses tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Latini berkata, individu yang ketagihan hartanah mungkin cenderung untuk mengabaikan peringkat kehidupan yang penting kerana mahu menyimpan untuk kediaman yang ideal.

Jelasnya, secara global sebanyak 19 peratus golongan itu akan menangguhkan untuk memiliki anak dan perkahwinan kerana mahu mengumpul kekayaan untuk membeli kediaman seterusnya.

“Kebarangkalian ini adalah dua kali lebih tinggi berbanding orang biasa. Sebanyak 50 peratus rakyat Malaysia yang ke­tagih hartanah menangguhkan untuk mempunyai anak kurang daripada dua tahun.

“Selain itu, hampir separuh rakyat negara ini sanggup memotong perbelanjaan yang besar seperti kereta, percutian dan barangan mewah demi membeli hartanah,” katanya.

Malaysia memiliki rakyat yang sangat obses hartanah di Asia Tenggara dan sanggup menghabiskan lebih banyak masa mencari dan membaca maklumat mengenai hartanah melebihi aktiviti lain seperti bersenam, membaca buku atau menonton berita.