Dahulu, menghantar ketera­ngan ringkas diri atau resume dalam pencarian pekerjaan adalah lebih daripada mencukupi. Kini tidak lagi. Anda perlukan lebih daripada ini.

Lihat sahaja jumlah graduan yang tidak mendapat pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian yang dikongsi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh baru-baru ini, tidak kurang 54,103 kesemua­nya. Ini baru jumlah lepasan universiti dan belum lagi golongan yang telah bekerja dan kini menganggur. Adakah kualiti anda mampu mengalahkan beribu-ribu yang lain yang mungkin jauh lebih berkualiti, berkelayakan dan berpengalaman daripada anda?

Bagi pihak majikan pula, mereka bukan sahaja melihat kelayakan, pengalaman dan kebolehan anda, ia lebih daripada itu. Setelah melihat kesemua kriteria yang ada, mereka akan bertanya mengapa anda perlu dipilih dan bukannya orang lain? Soalan ini biasanya akan keluar pada peringkat akhir pemilihan. Ia lebih kepada me­ngapa. Sekiranya ini ditanya kepada anda, mungkin agak sukar untuk menjawabnya. Mengapa mereka perlu memi­lih anda dan bukan orang lain?

Biasanya tidak ramai orang yang tahu menjawab soalan ini. Kebanyakan jawapan yang di­terima semua tidak boleh pakai. Jawapan yang betul sebenar terletak kepada tawaran nilai atau value proposition yang ada pada diri anda yang boleh membantu bakal majikan tadi untuk lebih berjaya.

Apakah kualiti yang anda miliki yang tidak terdapat pada orang lain yang bakal majikan tadi boleh jadikan sebagai aset berharga untuk menjadikan mereka lebih kuat dalam mengharungi cabaran dan persaingan ekonomi yang sengit di luar sana. Anda akan berjaya jika jawapan anda konkrit.

Dahulu orang menggunakan kenalan yang bekerja di dalam syarikat tersebut, yang juga dikenali sebagai ‘kabel’ untuk tujuan ini. Ada yang masih lagi menggunakan kaedah kuno ini kerana ia berkesan. Mengapa ia berkesan? Mana tidaknya, orang yang meminta bantuan tadi merupakan kawan, kawan baik, saudara-mara, adik-beradik ataupun kawan kepada kawan. Jadi, masing-masing saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Ini formula dahulu.

Konsep yang sama digunakan pada zaman ini, yang dikenali sebagai penjenamaan diri, iaitu membuatkan diri kita dikenali oleh seramai mungkin orang di luar sana. Ini dilakukan secara dalam talian.

Cuba bayangkan anda ke satu temuduga untuk jawatan Eksekutif Teknologi Maklumat di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota dan ketua Jabatan Sumber Manusia dan pengurus Jabatan Teknologi Maklumat di syarikat tersebut mengenali anda lebih awal melalui media sosial contohnya. Sudah pasti peluang anda agak cerah di sini. Me­ngapa? Kerana masing-masing telah kenal terlebih dahulu.

Ini yang dimaksudkan de­ngan penjenamaan diri. Ini pengalaman saya bagaimana cara yang terbaik untuk mewujudkan satu penjenamaan diri yang kuat melalui internet.

LinkedIn

Saya minimumkan semua aktiviti-aktiviti tidak berfa­edah di Facebook, sebaliknya tumpukan perhatian kepada LinkedIn. Ia merupakan rangkaian profesional yang lebih berkualiti untuk saya bergaul dengan golongan yang betul. Di LinkedIn, hampir kesemua ahli terdiri dari­pada para profesio­nal, korporat dan usahawan. Formula yang saya gunakan adalah mudah. Gunakan gambar profil yang betul, ringkasan latar belakang yang berkualiti dan setiap hari aktif berinte­raksi dengan orang lain. Dalam masa tidak sampai enam bulan, penjenamaan diri saya telah mula kelihatan.

Menulis

Biasanya bakal pelanggan akan melihat syarikat-syarikat yang pernah menjadi pelanggan saya sebelum mereka memberikan apa-apa kontrak. Untuk anda yang mencari pekerjaan, bakal majikan akan melihat pengalaman bekerja. Dahulu, pengalaman saya tidak begitu banyak jadi peluang untuk mendapatkan kontrak agak tipis. Tetapi saya alihkan perhatian mereka kepada penulisan. Setiap minggu saya akan menu­lis blog di LinkedIn tentang pendapat saya mengenai pemasaran digital. Sehingga kini saya masih menulis. Dengan cara ini, perhatian mereka le­bih tertumpu kepada penulisan saya daripada pengalaman.

Jual dengan cara tidak menjual

Saya lebih suka berkongsi petua dan rahsia berdasarkan pembacaan dan pemerhatian yang saya lakukan melalui penulisan tadi. Dengan kaedah ini, saya menjual perkhidmatan saya dengan cara tidak menjual. Saya bercerita.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau di azleen.com