SHARIFAH ZAIDA NURLISHA
SHARIFAH ZAIDA NURLISHA

Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia (MOGSC), Sharifah Zaida Nurlisha Syed Ibrahim berkata, berdasarkan ini, industri menyaksikan pelaburan meningkat untuk meningkatkan pengeluaran dalam lapangan minyak dan gas sedia ada, selain marginal baharu, di sam­ping menggiatkan penerokaan dan pembangunan di kawasan laut dalam.

Dalam persekitaran ini ujar­nya, syarikat OGSE Malaysia perlu terus mengekalkan momentum mereka dan meningkatkan daya saing mereka berikutan terdapat peluang.

“Mereka perlu meninjau peluang kerjasama dengan penggiat lain dalam pasaran tempatan atau serantau dari segi teknologi, penyelesaian bersepadu, tenaga kerja berkualiti, atau keupayaan eksport, untuk meningkatkan daya saing mereka

“Ini adalah sebab utama kami mewujudkan platform Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia (MOGSEC) 2018,” katanya di sini baru-baru ini.

MOGSEC 2018 yang akan diadakan dari 25-27 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dijangka men­jana jualan lebih RM400 juta. Ia dianjurkan bersama MOGSC dan MES dan disokong antara lain, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Shell dan Telekom Malaysia.

Sementara itu, Pe­ngurus Besar Malaysian Exhibition Services Sdn. Bhd. (MES), Alun Jones berkata, pameran pada tahun ini akan menyaksikan penyertaan daripada 350 penyedia perkhidmatan minyak dan gas yang berpangkalan di Malaysia dan dijangka menarik kira-kira 7,000 pengunjung perdaga­ngan.

“Kami menjangka untuk me­nyaksikan jualan lebih tinggi bagi edisi keempat acara dwitahunan itu, berbanding MOGSEC 2016 yang meraih RM390 juta, berdasarkan iklim industri yang lebih baik pada tahun ini dan pada masa akan datang,” katanya pada sidang media mengenai MOGSEC 2018 bertemakan “Catalysing Regional Growth in Oil and Gas” di sini hari ini.

MOGSEC dilancarkan pada 2012 oleh MOGSC sebagai usaha untuk menempatkan Malaysia sebagai hab minyak dan gas di rantau ini.
Sharifah Zaida Nurlisha berkata, edisi pada tahun ini bertujuan mempamerkan keupayaan dan kejayaan penggiat industri tempatan.

“Membenarkan hanya syarikat tempatan menyertai MOGSEC berbanding syarikat antarabangsa membolehkan penggiat industri kecil menjangkau pihak berkepentingan dan untuk memaklumkan kepada mereka bahawa kita mempunyai keupayaan dan tenaga kerja tempatan yang mencukupi, untuk menyokong industri,” katanya.

MOGSEC 2018 bertujuan membantu syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas Malaysia (OGSE) bukan sahaja untuk meningkatkan perniagaan dan operasi mereka tetapi turut di peringkat antarabangsa, katanya.