Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman  Abdul Latiff berkata, pelabur juga sedang melihat keupayaan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan negara supaya projek-projek pembangunan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

Katanya, petanda positif sudah ada seperti peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dalam negara, kenaikan harga minyak yang menambahkan pendapatan negara dan juga akaun semasa serta imbangan dagang yang masih kekal positif.

“Kerajaan juga harus terus mereformasikan sistem monetari negara supaya lambakan kredit yang disebabkan oleh pemberian pinjaman oleh bank komersial dapat dikawal sekali gus menurunkan kos sara hidup rakyat.

“Ini penting kerana jika isi rumah dan kedua-dua sektor kerajaan dan swasta sarat dengan hutang, ia akan menjejaskan pertumbuhan negara kerana sebahagian pendapatan dihabiskan semata2 untuk membayar kos hutang,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Beliau mengulas laporan Bloomberg semalam bahawa ringgit jatuh dan bon terus mencatat kerugian berikutan kebimbangan aliran keluar modal yang berterusan walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan semula projek pembangunan hartanah dan hab pengangkutan minggu lalu.

Projek yang dimaksudkan adalah Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia. ECRL disambung semula dengan kos pembinaan dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 ­bilion.

Pelaksanaan semula projek Bandar Malaysia yang dihentikan sebelum ini dijangka menjana nilai pembangunan kasar (GDV) RM140 bilion. Bagaimanapun, pengumuman itu gagal merangsang para pelabur. 

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob memberitahu, dalam keadaan ekonomi sekarang, tidak ada berita-berita ekonomi yang memberangsangkan seperti pelaburan-pelaburan baharu terutama dari Amerika Syarikat dan Eropah.

Katanya, ECRL sepatutnya menaikkan semangat pelabur-pelabur asing, tetapi, perkara ini seperti gagal menarik minat mereka.

“Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor iaitu sikap kerajaan yang masih berdolak-dalik dalam penyambungan projek ini. Hal itu mungkin menyebabkan pelabur berasa kurang yakin dalam pelaksanaannya. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah positif dan drastik untuk meyakinkan bakal-bakal pelabur melalui beberapa kaedah.

“Kerajaan perlu mengumumkan lebih terperinci persetujuan yang telah dicapai terutama cara penurunan kos keseluruhan, membuat jerayawara atau penyebaran maklumat kepada semua rakyat tentang kebaikan dan manfaat projek ini dan keuntungan yang bakal diperoleh dalam jangka pendek dan jangka panjang. Jangan harap peniaga-peniaga dari China sahaja untuk melabur dan membantu ekonomi Malaysia,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE