Barjoyai Bardai
BARJOYAI BARDAI

Pensyarah ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, artikel tersebut ditulis dengan tidak mengambil kira secara meluas situasi pasaran Asia dan dunia.

“Kalau kita lihat aliran keluar modal memang benar berlaku di Malaysia ada RM4 bilion pelaburan dibawa keluar. Namun apabila kita membandingkan apa yang berlaku di Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura jumlah pelaburan dibawa keluar melebihi RM15 bilion.

“Maknanya ia bukan hanya berlaku di Malaysia dan di negara tersebut tidak berlaku apa-apa perubahan. Yang berlaku ialah beberapa perkembangan di Amerika Syarikat di mana ekonomi negara tersebut telah meningkat dengan pesat mencapai kadar pertumbuhan melebih 4 peratus setahun,” kata Dr. Barjoyai ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Nikkei, akhbar kewangan terbesar di dunia dengan edaran lebih tiga juta naskah semalam melaporkan dua bulan selepas peralihan kuasa di Malaysia, dana saham terus mengalir keluar dari negara disebabkan pelabur tetap tidak yakin bahawa Dr. Mahathir boleh mewujudkan laluan pertumbuhan yang berdaya maju.

Akhbar tersebut melaporkan, dasar-dasar kewangan yang tidak kukuh termasuk pemberhentian cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah menyumbang kepada penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan masih menyaksikan penurunan sekarang.

“Yang paling penting kita mahu tekankan keadaan ekonomi dunia yang agak malap pada masa ini tidak boleh dijadikan asas untuk menilai keberkesanan polisi dan dasar kerajaan baharu.

“Kita menjangkakan bahawa ekonomi dunia semakin muram tambahan lagi sekarang ini peperangan perdagangan antara China, Amerika Syarikat, Kanada dan Eropah akan menjadi lebih sengit dan ini dijangka akan menyebabkan kemelesetan ekonomi selewat-lewatnya pada 2019,” kata Dr. Barjoyai.

MOHD. AFZANIZAM ABDUL RASHID
MOHD. AFZANIZAM ABDUL RASHID

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB), Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid turut melemparkan pandangan yang sama.

Jelas Dr. Mohd. Afzanizam, pergerakan nilai matawang ringgit berbanding dolar AS serta aliran keluar modal asing di dalam pasaran saham banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti risiko perang perdagangan antara negara Amerika dan China serta prospek kenaikan kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutan Amerika.

“Terdapat juga kebimbangan bahawa pihak bank pusat China berkemungkinan melaksanakan dasar “currency devaluation” seperti yang pernah berlaku pada tahun 2015. Dasar ini berikutan terdapatnya tanda-tanda bahawa ekonomi negara China juga menunjukkan tren yang memperlahan.

“Oleh itu, agak terlalu awal untuk memberi komen tentang keberkesanan dasar ekonomi kerajaan sekarang kerana masih berlaku pelarasan serta pengubahsuaian terhadap dasar- dasar yang terdahulu. Sudah tentu perkara ini akan mengambil masa untuk kita lihat kesannya,” kata Dr. Mohd. Afzanizam.-UTUSAN ONLINE