Baginda bertitah, kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga amat dialu-alukan bagi membantu mempromosikan Perlis sekali gus membawa pelabur ke negeri itu.


"Jaringan sedia ada dengan semua pihak termasuk pelabur asing dan agensi kerajaan pusat harus dilihat sebagai jalan terbaik bagi menggalakkan lagi sebarang proses berkaitan kemasukan pelaburan ke Perlis," titah baginda, di sini, semalam.


Baginda bertitah demikian ketika berkenan menerima menghadap hormat delegasi CEE Power Co. Ltd. Group dari China, yang diundang baginda ke Perlis, bagi melihat sendiri peluang pelaburan yang ada.


Delegasi berkenaan diketuai oleh Pengerusi CEE Power, Tianxu Chen serta Naib Presiden, En Xi Chen.


Taklimat mengenai potensi pelaburan di Perlis disampaikan oleh Pejabat Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri Perlis dan UniMAP Holdings.


Dalam pada itu baginda juga berkenan menerima sembah menghadap delegasi dari Kolej Sam Ma Pao Yunnan, China, yang berhasrat mengadakan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Dalam pertemuan itu, kolej berkenaan menyatakan minat untuk mengadakan program pertukaran pelajar dan kursus jangka pendek dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Selain itu, pihak kolej turut mengintai peluang untuk menjalin kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddin selaku Canselor UniMAP dan Yang Dipertua MAIPs bertitah jalinan kerjasama itu diharap mampu meningkatkan keberhasilan dan pencapaian pelajar bagi melahirkan graduan yang berupaya memberi impak serta transformasi kepada masyarakat.

“Masyarakat meletakkan harapan yang tinggi kepada seluruh institusi pengajian tinggi dalam melahirkan tenaga kerja yang berinovatif, mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi, menguasai pelbagai bahasa dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan, serta celik teknologi,” titah baginda pada majlis sembah menghadap di Galeri Diraja.

Kolej Sam Ma Pao beroperasi lebih 40 tahun di bandar Kunming, China, memberi pengkhususan dalam jurusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab hingga ke peringkat diploma.

Delegasi tersebut berada di negara ini selama lima hari bagi meneroka peluang kerjasama di peringkat lebih tinggi untuk graduan mereka melanjutkan pelajaran. - BERNAMA