Mohamad Azhar Hashim
Mohamad Azhar Hashim 

Juruperunding Kewangan Bebas, Bina Pavo Data Intelligence Sdn. Bhd., Mohamad Azhar Hashim berkata, situasi itu berbeza dengan kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia selama 60 tahun dan sepanjang tempoh itu berjaya membangunkan ekonomi ­negara dengan mapan.

Katanya, pasaran saham Malaysia didominasi oleh pelabur institusi dan apabila berlaku perubahan kerajaan maka kepemimpinan dalam institusi pelaburan berkaitan kerajaan juga bertukar.

“Pertukaran kepemimpinan ini juga menyebabkan berlakunya perubahan dari segi keputusan membuat pelaburan bagi pelabur institusi dan nilai pegangan portfolio pelaburan mereka susut. Ini menyebabkan nilai kekayaan berkurang.

“Bagi pelabur jangka panjang, mereka mengalami kerugian atas kertas yang tinggi dan mereka akan mengurangkan pelaburan dalam saham-saham baharu,” katanya ­kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Bloomberg me­laporkan prestasi pasaran saham Malaysia tahun ini antara terburuk di dunia dengan modal pasaran Bursa Malaysia susut RM157 bilion sejak PRU-14 manakala penanda aras pasaran FBM KLCI ditutup pada 1,629 mata berbanding 1,846 mata sebelum 9 Mei 2018.

Mohamad Azhar berkata, selain itu, langkah penjimatan yang dijalankan kerajaan juga memberi impak kepada prestasi Bursa Malaysia.

Beliau berkata, walaupun sumbangan perbelanjaan sektor swasta juga besar, namun perbelanjaan kerajaan terus bertindak sebagai pemangkin ekonomi .

“Pasaran saham mengukuh apabila keyakinan pelabur kembali pulih, justeru, terdapat keperluan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, merancakkan ­aktiviti ekonomi dalaman serta mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Ahmed Razman Abdul Latiff
Ahmed Razman Abdul Latiff 

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah penjimatan yang dilakukan kerajaan adalah untuk mengembalikan keyakinan pelabur bahawa kerajaan mampu menguruskan fiskal negara supaya pembangunan negara dapat diteruskan sekali gus memberi peluang ekonomi kepada semua

“Prestasi Bursa Malaysia akan kembali positif apabila keyakinan pelabur dipulihkan namun, ia mengambil masa dan bergantung kepada beberapa faktor luaran ­seperti perang tarif dan prospek ekonomi global,” katanya.

Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan petang ini pada paras 1,620.90 mata, susut 8.56 mata dan merupakan ­paras penutupan terendah ­sejak Disember 2016.

Sementara itu menurut nota penyelidikan Morgan Stanley, Malaysia boleh kehilangan hampir AS$8 bilion (RM33.10 bilion) jika FTSE Russell menggugurkan hutang Malaysia daripada Indeks Bon Kerajaan FTSE Global berikutan kebimbangan mengenai kecairan pasaran, sekali gus menjejaskan prestasi mata wang tempatan dan pasaran bon.

FTSE pada Isnin lalu berkata, ia akan mengkaji semula tahap akses pasaran Malaysia dalam Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) kerana kebimbangan mengenai kecairan pasaran.

Dua minggu lalu, Norway berkata, dana kekayaannya akan memotong hutang pasaran baharu muncul termasuk indeks sekuriti Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, ringgit berdepan tekanan berganda yang menjadikannya antara mata wang merekodkan prestasi terburuk di Asia pada bulan ini.

Pada awal pembukaan hari ini, mata wang itu diniagakan pada RM4.1340 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada RM4.1310 pada paras penutup Selasa.

Ringgit kemudian ditutup pada paras RM4.1350 berban­ding dolar AS.