Perkara itu ditekankan oleh Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman yang menjelaskan bahawa pada suatu ketika wujud cadangan atau gerakan daripada pihak pembangkang yang menggesa AP terbuka dimansuhkan.

Bagaimanapun, ujar Zainuddin, menyedari kepentingan Dasar AP Terbuka kepada usahawan automotif Melayu dan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera, kerajaan di bawah kepemimpinan Najib membuat keputusan mengekalkannya sehingga ke hari ini.

“Mereka cuba menimbulkan persepsi tidak baik terhadap Dasar AP Terbuka, sedangkan melalui dasar ini kita dapat lihat usahawan-usahawan Melayu mula melibatkan diri dalam sektor automotif.

“Beberapa tahun lalu, wujud usaha untuk memansuhkan dasar ini dengan membawanya ke Kabinet. Alhamdulillah usaha itu tidak berjaya apabila Perdana Menteri membuat keputusan mengekalkannya setelah mengambil kira cabaran orang Melayu dan mendegar denyut nadi rakyat mengenai peranan yang dimainkan dasar itu dalam industri automotif,” katanya ketika ditemui Pekema Auto dan Industri baru-baru ini.

Biar pun begitu, bagi memastikan kelangsungan usahawan automotif bumiputera, Zainuddin berharap kerajaan mempertimbangkan saranan serta cadangan Pekema supaya dasar sama rata diterapkan antara pemilik AP dengan syarikat francais.

Jelas Zainuddin, Pekema akan tetap memperjuangkan isu itu memandangkan perkara tersebut berkait dengan soal survival usahawan Melayu dalam industri automotif negara.

“Pemegang AP bersaing dalam situasi yang tidak seimbang dengan syarikat francais. Jelas sekali dasar sedia ada memberi kelebihan kepada francais khususnya daripada pemansuhan cukai import sebanyak 30 peratus, manakala kadar tersebut kekal kepada pemilik AP.

“Selain itu, pemilik AP juga perlu membayar levi berjumlah RM10,000 untuk setiap kenderaan import terpakai yang dibawa masuk, sedangkan francais tidak dikenakan sebarang duti eksais terhadap kenderaan yang mereka bawa masuk.

“Secara ekonominya, situasi ini tidak memihak kepada pemilik AP. Ini juga menjadikan harga kenderaan terpakai dijual oleh pemilik AP ada antaranya lebih mahal berbanding kenderaan baharu francais, bagaimana kami mahu bersaing,” jelas beliau.

Zainuddin pada masa sama mengingatkan bahawa segala hasil keuntungan yang diperoleh oleh syarikat francais akan dibawa ‘pulang’ ke negara asalnya, manakala pemilik AP laburkan keuntungan atau hasil mereka di dalam negara sendiri.

“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada Jabatan Kastam DIraja Malaysia (JKDM) kerana pada dasarnya mereka bersetuju supaya cukai-cukai berkenaan dikaji semula memandangkan banyak model kenderaan baharu yang tidak termasuk dalam warta harga seperti ditetapkan oleh kerajaan,” ujar beliau.