Peristiwa itu benar-benar merenggut perasaan sesiapa sahaja mengenangkan nasib belia berfizikal sempurna, Abdullah Abd Kadir, 25, yang punya masa hadapan cerah dalam bidang pendidikan tiba-tiba kudung sebelah tangan dalam sekelip mata.

Mengimbau kembali, Abdullah berkata, pada pagi 26 Mac 2018, beliau memandu kereta seorang diri untuk kembali ke ibu kota selepas menghabiskan cuti seminggu penggal pertama persekolahan di kampung halamannya di Kampung Chicha Tinggi, Pasir Mas, Kelantan.

“Saya bertolak dari kampung pada pukul 9.45 malam dan menjangka dapat sampai ke rumah menjelang Subuh untuk berehat sebelum mengajar sesi petang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Kuala Lumpur.

“Takdir Allah menentukan saya kemalangan apabila kereta yang dipandu terjatuh ke dalam gaung sedalam 16 meter, pada pukul 2.30 pagi di Kilometer 7.5 Jalan Bentong-Raub dekat Bukit Lebu, Pahang. Akibatnya tangan kanan saya yang tersepit terpaksa dipotong hingga aras atas siku,” katanya kepada S2.

Namun hikmah cukup besar ternyata menanti lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi ini yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik kepada pasangan Abd Kadir Ramli, 61, dan Salmiah 
Mamat, 46.

Selain reda dengan ketentuan takdir, dia bersyukur kerana minat dalam dunia perniagaan telah menjadi antara faktor pengubat duka untuk bangkit daripada keadaan yang tidak pernah dibayangkan terjadi, 
terutama dalam tempoh tiga bulan pertama selepas kemalangan.

Abdullah atau lebih mesra dipanggil 'Ustaz Lah' sebenarnya sudah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak mula bergelar guru lebih setahun lalu. Ketika itu, beliau menjual daging pekasam yang disediakan sepupunya, Mariani Ablah, 36. Bisnes itu diuar-uarkan di laman Facebook peribadinya.

“Ibu bapa saya berniaga kedai runcit. Jadi, mereka yang jadi pendorong. Saya jual pekasam daging di bawah nama 'Produk Ustaz Lah' atau ringkasnya PUL. Ikhlas saya katakan bahawa dahulu, saya hanya dapat pesanan satu atau dua botol sahaja dalam seminggu.

“Tetapi selepas kemalangan itu dan kisah saya tular di media sosial, ia membuka peluang rezeki yang sangat besar apabila bermula hanya dua botol pekasam dipos dalam seminggu, meningkat kepada 40 botol seminggu dan terkini. Kini, beliau dapat jual lebih 400 botol pekasam daging dalam sebulan.

“Pengikut dalam facebook saya, 'Abdullah Kadir' yang dahulunya sekitar 2,000 orang, kini melonjak kepada hampir 30,000 orang,” katanya.

Guru subjek Pendidikan Islam itu berkata, produk pekasam daging PUL yang dijual pada harga RM35 
 setiap 600 gram itu menarik perhatian pelanggan daripada pelbagai peringkat termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Terbaharu, dia membuka laman Facebook perniagaan 'PUL Pilihan No 1 Malaysia' untuk meluaskan pemasaran serta menambah dua lagi produk iaitu pekasam gelama dan lempok durian yang diharap mendapat tempat di hati ramai.

Abdullah kini sedang menempuh hari-hari terakhir 'cuti sakit' sebelum bertugas di sekolah baharu berdekatan dengan rumahnya iaitu SK To' Uban, Pasir Mas selepas sambutan hari raya Aidil Adha yang lalu.

“Di samping menunaikan amanah sebagai guru, saya akan terus berniaga kerana saya bertanggungjawab membantu ibu bapa menyara adik-adik.

“Saya juga ada misi tersendiri iaitu mengumpul wang untuk memiliki tangan palsu bionik yang kosnya bukan sedikit, saya impikan kesempurnaan dan berharap ia dapat dicapai,” katanya.

Sesiapa yang berminat untuk menjadi ejen PUL boleh menghubungi Abdullah di talian 018-9016142.