KUALA LUMPUR 05 MEI 2019 - Pemandangan Kuala Lumpur, di sini, hari ini. Ekonomi, Kuala Lumpur, KLCC, Landskap, Pembangunan, Bisnes, View KL, Bangunan, Blue Sky, Renungan, Petronas Twin Towers, Menara Berkembar Petronas, Kampung Baru.GAMBAR : ABDUL RAZAK LATIF

MARC dalam Buletin Pasaran Bon dan Penarafan Bulanannya berkata, jumlah pemilikan asing berkurangan kepada 11.9 peratus kerana aliran keluar yang meningkat disebabkan kelemahan ringgit, penurunan harga mi­nyak mentah dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan dalam suku pertama tahun ini.

Jelasnya, perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang dijangka berpanja­ngan turut menyebabkan pelabur asing terus mengecilkan pegangan bon tempatan.

“Pegangan asing terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) pada Mei ma­sing-masing turun kepada 35.8 peratus dan 4.5 peratus daripada jumlah keseluruhan sementara bil perbendaharaan me­nunjukkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM10 juta.

“Walaupun begitu, masih terdapat kenaikan kecil dalam pembelian asing terhadap bon korporat iaitu RM900 juta,” katanya.

Menurut agensi penarafan itu, penjualan asing pada Mei dikurangkan oleh peningkatan minat beli oleh pelabur tempatan.

Katanya, permintaan itu didorong oleh tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi me­rangsang bon dan pasaran pertukaran asing serta pertumbuhan Indeks Harga Pengguna (IHP) pada April.

“Pasaran utama untuk MGS dan GII juga mendapat sokongan padu daripada pelabur tempatan.

“Semua tender yang diterbitkan telah terlebih langgan de­ngan minat bidaan lebih terarah kepada kertas GII untuk 30.5 tahun dan 15.5 tahun berbanding MGS 10 tahun,” katanya.