Ketua Penolong Pengarah Kepolisian Kemasyarakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), SAC Samsuddin Mat berkata, nasihat tersebut perlu diterima secara baik kerana ia adalah pesanan antara ‘abang dengan adik’.

Katanya, sebenarnya ramai anggota dan pegawai polis yang meminati jentera dua roda itu, malah beliau dan beberapa kenalannya yang turut memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi.

“Jika kita meminati motosikal berkuasa tinggi, seharusnya kita bersama menjaga industri ini dan mengurangkang persepsi negatif masyarakat terhadap minat ini.

“Persepsi boleh mengakibatkan kita menjadi mangsa jenayah, sama ada pelaku jenayah secara langsung atau mangsa jenayah tanpa niat,” katanya ketika menjadi panel dalam Persidangan Bikers United Club Malaysia (BUCM) yang julung kali diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini, baru-baru ini.

Menurut Samsuddin, beliau berharap penunggang motosikal berkuasa tinggi juga boleh memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada PDRM, dengan melaporkan jika mengetahui sebarang aktiviti jenayah di negara ini.

Katanya, penunggang motosikal berkuasa tinggi perlu menjadi contoh teladan kepada generasi muda khususnya kumpulan rempit supaya menunggang motosikal secara berhemah dan berdisiplin.

Dalam pada itu, beliau memberitahu akan mencadangkan kepada pasukan Polis Trafik supaya motosikal berkuasa tinggi 500CC ke
atas dibenarkan menunggang di laluan lebuh raya biasa.

Katanya, cadangan itu perlu diutarakan selepas mendapati banyak rungutan dalam kalangan penunggang motosikal biasa kerana tidak boleh menunggang dengan baik jika terdapat motosikal berkuasa tinggi di lorong motosikal, kerana laluan tersebut sempit.