Menurut firma berkenaan, pe­raturan dan kewajipan GST akan terus diterapkan, termasuk memfailkan pemulangan GST, pengeluaran invois cukai serta tuntutan kredit cukai input, di mana perlu, selain pelarasan hutang lapuk.

“Peniaga perlu memahami ke­san terhadap arahan kadar sifar se­perti yang membabitkan harga dan sistem cukai,” kata Rakan Pengurusan Cukai ASEAN firma itu, Yeo Eng Ping, dalam kenyataan di sini. 
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, di bawah kerajaan Pakatan Harapan, mengarahkan GST pada kadar sifar mulai 1 Jun 2018 dan akan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Proses peralihan dari GST ke SST, mungkin mengambil masa yang singkat, justeru memerlukan pengurusan yang berhati-hati, katanya dan menambah sesebuah organisasi perlu memberikan tumpuan yang cukup selain sumber untuk memastikan proses peralihan yang lancar, mengelakkan risiko dan merebut peluang baharu.

“Kami juga menjangkakan pembaikan insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan yang tepat ke Malaysia yang dapat me­rangsang transforma­sinya ke dalam ekonomi baharu.

“Adalah diharap bahawa pengenalan SST yang baharu dapat dilakukan dengan kaedah di mana ia sensitif kepada operasi perniagaan serta mengambil kira sumber dan kos yang dikaitkan dengan perubahan,” kata Yeo.
SST dilaksanakan di Malaysia selama 40 tahun sebelum ia digantikan dengan GST pada 1 April, 2015.

Ernst & Young Advisory Services menjangka akan ada beberapa perubahan dasar dalam masa terdekat, termasuk semakan yang komprehensif terhadap polisi dan kerangka cukai kerana kerajaan turut menimbangkan bagaimana ia dapat melaksanakan dan membiayai perancangan pembangunan dan sosial sambil terus mengekalkan daya saing cukai.

Untuk itu, cukai baharu mungkin dipertimbangkan.

Ke­­mungkinan akan ada pembaikan terhadap insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan yang tepat ke Malaysia sebagai sebahagian daripada perancang­an yang besar untuk menjadikan Malaysia destinasi pelaburan menarik yang menyumbang kepada transformasinya ke dalam ekonomi baharu, selain memberi fokus membantu sektor tertentu seperi perniagaan kecil dan sederhana. – BERNAMA