Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC) Malaysia, Datuk Syed Zain Albar berkata, di sebalik ketidaktentuan pasaran global, aktiviti pembiayaan di dalam bon korporat dan pasaran sukuk kekal berdaya tahan.

Beliau berkata, ia dapat dilihat dengan sejumlah RM78.4 bilion diraih dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan prestasi separuh pertama 2019 juga menghampiri nilai RM105.4 bilion yang dicatatkan bagi tahun penuh 2018.

“Prestasi baik yang direkodkan oleh pasaran bon dan sukuk itu juga merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak yang terus komited membangunkan kecairan pasaran bon tempatan.

“Pembangunan pasaran bon dan sukuk adalah keutamaan bagi SC dan dari perspektif makro, keupayaan kedua-dua pasaran untuk menyediakan kos yang cekap, pembiayaan jangka panjang kepada kedua-dua sektor awam dan swasta menjadikannya penting untuk pembangunan ekonomi dan ketahanan pasaran,” katanya pada Persidangan Bon RAM-SIDC di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE