Artikel ini bukan mahu mencetuskan isu perkauman, jauh sekali politik. Ia lebih kepada kesedaran buat bangsa Melayu sendiri tentang di mana kedudukan mereka dalam ekonomi negara.

Untuk itu, mari kita merungkaikan pecahan kaum di Malaysia ketika ini. Mengikut Jabatan Perangkaan, penduduk negara dianggarkan seramai 32.4 juta pada 2018. Ia didiami oleh tiga rumpun utama iaitu Melayu berjumlah 20.07 juta, Cina (6.69 juta), India (2.01 juta) dan lain-lain merangkumi kira-kira 80 kaum etnik seramai 0.29 juta penduduk.

Tiada persoalan tentang status kaum bumiputera sebagai bangsa asal di Malaysia. Tanah ini tanah Melayu.

Melayu sememangnya masih menguasai sebahagian besar politik di negara, tambahan pula terdapat andaian kaum Cina ha­nya berminat untuk menguasai ekonomi, sementara India me­nguasai apa sahaja yang boleh.

Namun, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei menyaksikan sendiri semakin ramai penglibatan bukan bumiputera di dalam Parlimen. Perkara ini perlu direnungkan bersama kerana bimbang kedudukan Melayu semakin kritikal.

Sebenarnya, Melayu tidak boleh bergantung kepada politik semata-mata kerana PRU-14 membuktikan ia tidak mampu bertahan, sebaliknya bangsa kita perlu menguasai ekonomi sepenuhnya.

Mengapa Malaysia yang me­rupakan tanah Melayu, namun bangsa Melayu sendiri tidak menguasai ekonomi di tanah­nya. Adakah kita hanya me­nunggu disuap oleh kerajaan dengan pelbagai bantuan? Sedangkan bangsa lain boleh maju tanpa sebarang keistimewaan.

Jika kita lihat senarai Forbes 10 individu terkaya Malaysia setakat 7 Mac 2018, tiada seorang pun daripadanya adalah bangsa Melayu. Ia didahului oleh Ro­bert Kuok dan diikuti Quek Leng Chan, Ananda Krishnan, Teh Hong Piow, Lee Shin Cheng, Lim Kok Thay, Chen Lip Keong serta Koon Poh Keong dan Poh Ming.

Di mana Melayu dalam senarai ini? Sampai bila senarai ini akan berlanjutan? Bukankah sepatutnya Melayu berada di dalam senarai ini.

Sorotan sejarah menyaksikan kerajaan berusaha untuk membantu Melayu contohnya seper­ti menerusi Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada 1971. Melayu mempunyai kedudukan dan hak istimewa di Malaysia.

Setelah berbilion dibelanjakan dalam pelbagai agenda, insentif dan pelaburan bagi meningkatkan ekonomi bumiputera, mekanisme itu dilihat banyak membantu, namun perjuangan mengangkat kaum bumiputera masih belum selesai.

Laporan Unit Perancang Ekonomi pada 2014 mendapati pendapatan isi rumah bulanan bumiputera masih rendah dengan RM6,267, jauh ketinggalan jika dibandingkan de­ngan RM8,708 untuk Cina dan RM7,150 pula India. Di mana silapnya?

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) pada Disember 2017 berkata, penguasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Melayu hanya 37 peratus daripada 548,267 PKS di Malaysia. Malah, 88.3 peratus daripadanya hanya terlibat dalam sektor mikro, 10.5 peratus lagi bersaiz kecil dan baki 1.2 peratus bersaiz sederhana.

MTEM turut menyentuh isu pasaran modal syarikat bumiputera yang hanya 15 peratus daripada keseluruhan pasaran modal syarikat di Malaysia. Sa­ngat rendah.

Statistik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada Januari 2018 turut menyaksikan bumiputera ketinggalan dalam perniagaan francais. Keseluruhannya, bukan bumiputera mendaftar 628 perniagaan francais berbanding hanya 236 bumiputera.

Utusan Malaysia pernah melaporkan pada 2015, pemilikan hartanah bumiputera masih ketinggalan berbanding bukan bumiputera dengan nisbah transaksi pembelian 39.5 peratus, manakala bukan bumiputera 53.4 peratus dan baki 7.1 peratus ialah daripada syarikat.

Berdasarkan kepada petunjuk-petunjuk ini, jelas kerja keras sangat diperlukan oleh setiap bangsa Melayu untuk terus mengukuhkan penguasaan ekonomi dalam pelbagai sektor. Ia perlu bermula dengan kesedaran.

Bagi kerajaan pula, penulis berharap kerajaan Pakatan Harapan terus berani membentuk polisi dan mencipta dasar yang memberi impak yang lebih berkesan terhadap usaha untuk memacu Agenda Ekonomi Bumiputera.

Bangkit wahai bangsaku Melayu. Mari bersama rapatkan jurang ketidakseimbangan ekonomi antara kaum yang membelenggu ekosistem bumi Melayu ini.